BOBIE mempunyai sifat pemalu.
"Keletah dua haiwan ini bagaikan mengubat rasa penat atau rasa tertekan apabila saya pulang ke rumah," kata pemuda berusia 35 tahun ini saat ditanya mengenai keseronokan mempunyai kucing kesayangan.
Mohammad Fazzrul Maharof berkata, dia mula memelihara dua ekor kucing jantan diberi nama Bobie dan Choco sejak tiga tahun lalu dengan mengambil kedua-duanya daripada pemilik yang ingin mendermakan haiwan itu di media sosial.
Katanya, dia sememangnya seorang yang gemarkan kucing untuk dijadikan haiwan kesayangan sejak dari kecil lagi dan peluang membelanya adalah pengalaman paling menarik.
"Kedua-dua kucing saya ini berwarna jingga jenis Domestic short hair. Sebenarnya saya mencari kucing di laman sosial untuk dijadikan haiwan kesayangan dan kebetulan berjumpa dengan dua pemilik yang ingin memberikan kucing mereka yang masih kecil secara percuma.
"Ketika itu, Bobie dan Choco masih lagi bayi dalam usia sebulan dan ketika itu kedua-duanya dan masih belum divaksin. Jadi, selepas dua minggu saya menjaga dua haiwan itu saya bawa ke klinik veterinar untuk divaksin supaya tidak mudah sakit apabila terkena penyakit merbahaya seperti parvo yang boleh menyebabkan kematian," katanya.
FAZZRUL memiliki dua ekor kucing jantan diberikan penderma kucing.
Mohammad Fazzrul berkata, kucing juga perlu divaksin secara berkala mengikut nasihat doktor veterinar dan ketika itu dia juga akan membuat pemeriksaan kesihatan kepada Bobie dan Choco.
"Bagi saya menjaga kucing ini perlu mempunyai minat supaya kita dapat memberikan komitmen yang terbaik kepadanya. Kucing ini juga sebenarnya tahu perasaan tuan yang sayang dengannya.
"Sikap manja dengan tuan dan kadang-kala apabila kita bercakap dengannya, seoalah-olah haiwan ini memahami apa yang ingin kita sampaikan," katanya.
Katanya, menjaga dua ekor kucing berkenaan tidaklah perlu mengeluarkan perbelanjaan yang besar. Ini kerana hanya dua perbelanjaan sahaja yang perlu dibuat setiap bulan iaitu makanan dan pasir untuk najis.
"Saya berikan makanan jenis kibble yang premium kepada Bobie dan Choco kerana makanan yang baik ini penting dari segi kesihatan organ dalaman dan juga bulu haiwan itu.
"Malah saya amat pentingkan soal kesihatan haiwan kerana suka melihat kedua-dua kucing saya ini bergerak aktif di dalam rumah dan bergurau dengan saya," katanya.
Katanya, dia juga amat mementingkan kebersihan Bobie dan Choco dengan setiap dua minggu akan melakukan aktiviti mendandan sendiri iaitu memandikan, memotong kuku serta mengemaskan bulu.
CHOCO (kiri) dan Bobie yang mempunyai perwatakan manja tersendiri.
"Pada saya apabila lakukan dandanan sendiri kepada kucing, ia adalah masa yang terbaik untuk kita meletakkan kepercayaan kucing kesayangan kepada tuannya.
"Jadi, ia perlu dilakukan dengan cermat dan berhati-hati. Bagi saya Bobie dan Choco walaupun kadang-kala nakal tidak mahu dipotong kuku tetapi tidak pernah lagi mencakar saya kerana ia tahu saya ini tuannya," katanya.
Katanya, memandangkan kadang-kala dia perlu berkerja di luar kawasan, peranti makanan automatik yang dibeli amat membantu untuk menuang makanan mengikut masa yang ditetapkan.
"Pada masa kini, menjaga kucing dari segi masa untuk memberi makanan tidak ada masalah kerana sudah ada peranti makanan automatik yang boleh membantu menuangkan makanan mengikut masa yang ditetapkan. Ia juga boleh mengurangkan kos termasuk perlu dihantar ke hotel kucing.
"Paling penting sebagai pemilik kucing, anda perlu memberikan penjagaan sempurna terhadap haiwan kesayangan anda," katanya.
|