Gambar hiasan. - Foto AFP
KAMPALA: Jabatan Perkhidmatan Meteorologi Uganda memberi amaran mengenai peningkatan kes malaria di negara Afrika Timur itu sepanjang Januari, lapor Xinhua.
Jabatan cuaca awam, di bawah Kementerian Air dan Alam Sekitar mengeluarkan kemas kini cuaca Januari pada lewat Jumaat, menggesa orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga terhadap malaria yang merupakan satu daripada punca utama kematian di negara ini.
Jabatan itu menyeru pihak berkuasa kesihatan memastikan bekalan ubat malaria mencukupi di kemudahan kesihatan seluruh negara bagi menangani penyakit itu dan komplikasi berkaitan.
"Pendidikan kesihatan komuniti, kempen kesedaran dan pemeriksaan disarankan. Peningkatan pemantauan kejadian penyakit seperti malaria perlu dilakukan dan dilaporkan kepada pihak berkuasa bertanggungjawab untuk tindakan segera.
"Unit kesihatan digalakkan menambah stok bagi menghadapi peningkatan kes penyakit, manakala komuniti dinasihatkan tidur menggunakan kelambu yang dirawat," menurut kenyataan itu, sambil menekankan kemungkinan suhu siang dan malam yang lebih tinggi secara ketara.
Januari, satu daripada dua bulan paling panas di negara ini, dijangka kering dan berkabus.
Data Kementerian Kesihatan menunjukkan malaria meragut antara 70,000 hingga 100,000 nyawa di Uganda setiap tahun, kebanyakannya wanita hamil dan kanak-kanak.
Menurut kementerian itu, daripada setiap 10 orang sakit di Uganda, tiga menghidap malaria, dan daripada setiap 10 kanak-kanak di bawah umur lima tahun yang dimasukkan ke hospital, enam menghidap malaria, dengan ramai berisiko mati.
|