Mikati bersama al-Sharaa pada pertemuan di Damsyik, Syria, semalam. - Hayat Tahrir Al-Sham/Handout via REUTERS
DAMSYIK: Pemimpin de facto Syria, Ahmed al-Sharaa, berikrar untuk bersikap berkecuali dalam hal ehwal Lubnan, lapor Xinhua.
Beliau berikrar sedemikian pada sidang akhbar bersama Perdana Menteri sementara Lubnan, Najib Mikati yang melawat negara ini, semalam.
"Kami akan kekal bersikap seimbang terhadap semua pihak di Lubnan," katanya.
Beliau berkata, kedua-dua pihak turut membincangkan isu seperti masalah penyeludupan antara kedua-dua negara, cabaran sempadan, dan deposit Syria dalam bank di Lubnan.
"Kami membayangkan hubungan strategik jangka panjang yang dibina atas asas kukuh," katanya.
Sementara itu, Mikati menyuarakan sentimen serupa, termasuk menekankan hubungan erat antara kedua-dua negara.
"Selagi Syria dalam keadaan baik, Lubnan juga dalam keadaan baik," katanya.
Beliau sekali gus berharap usaha Damsyik menangani krisis pelarian Syria, dapat meringankan beban dihadapi Lubnan.
Mikati juga memuji kesediaan pihak berkuasa sementara Syria untuk bekerjasama, selain menekankan perbincangannya dengan al-Sharaa meliputi cabaran serantau dan cara mengukuhkan hubungan dua hala.
Kedua-dua pihak tidak mengumumkan sebarang perjanjian rasmi.
Hubungan antara kedua-dua negara jiran itu dilaporkan tegang dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Baru-baru ini, Syria mengenakan sekatan ke atas pergerakan rentas sempadan berikutan insiden keselamatan di kawasan sempadan.
Sebelum ini, warga Lubnan boleh memasuki Syria tanpa visa, dengan hanya menggunakan dokumen pengenalan diri.
Kawasan sempadan itu juga menyaksikan beberapa siri pertempuran antara kumpulan bersenjata Syria dengan pasukan tentera Lubnan, menyebabkan kematian dalam kalangan anggota tentera Lubnan.
|