Patna, India: Raih untung dengan menawarkan lelaki dengan kerja 'menghamilkan' wanita yang tidak mempunyai anak. Itu 'perkhidmatan' yang kononnya ditawarkan sebuah perniagaan dijalankan sebuah kumpulan penjenayah sehingga akhirnya ditangkap di Bihar, baru-baru ini, lapor NDTV.
Mereka yang ditangkap dikenal pasti sebagai Prince Raj, Bhola Kumar dan Rahul Kumar.
Penipuan yang dilakukan itu dilaporkan dari Kampung Kahuara, daerah Nardiganj, Nawada.
Menurut polis, penipu siber itu menjalankan 'All India Pregnant Job Service', di mana mereka memikat pelanggan lelaki yang berpotensi dan kemudian memeras ugut mangsa.
Polis berkata, mengikut tawaran, mereka memperdaya lelaki dengan tawaran sebanyak kira-kira RM57,000 sebagai pertukaran untuk 'membuat wanita hamil'. Jika gagal, mereka dijanjikan akan memperoleh antara RM2,850 hingga RM28,500.
"Tiga orang ditangkap. Mereka menyediakan 'All India Pregnant Job Service' dan juga menjalankan 'Perkhidmatan Playboy'. Modus operandi mereka adalah dengan meletakkan iklan di Facebook.
"Selepas itu, mangsa menghubungi ahli kumpulan. Atas nama pendaftaran, ahli kumpulan meminta kad PAN, kad Aadhaar dan swafoto pelanggan yang berpotensi.
"Mereka kemudian mengutip wang daripada orang yang diperdaya atas nama pendaftaran dan tempahan hotel," kata Timbalan Superintendan Polis, Imran Pervez.
Disiarkan pada: Januari 11, 2025
|