Rumah dan kereta hangus terbakar semasa kebakaran hutan yang merebak di sekitar Pacific Palisades, California kelmarin. — Gambar AFP
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden kelmarin berkata kebakaran hutan yang memusnahkan Los Angeles (LA) adalah yang terburuk dalam sejarah California, ketika beliau menjanjikan dana dan sumber persekutuan tambahan untuk membantu negeri itu.
“Ini merupakan kebakaran yang paling pantas merebak dan memusnahkan dalam sejarah California,” kata Biden ketika mengadakan mesyuarat khas dengan pegawai kanan pentadbiran di Rumah Putih.
Beliau berkata penduduk di Los Angeles “hidup dalam mimpi ngeri” dan memuji anggota bomba sebagai “wira” yang dengan berani menghadapi api untuk memadamkannya.
Presiden itu yang akan bersara tidak lama lagi membatalkan lawatan ke Rom yang dijadualkan kelmarin untuk berada di Washington dan menguruskan respons kerajaan AS terhadap kejadian kebakaran, yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang.
Beliau berkata kerajaan persekutuan akan menanggung 100 peratus kos yang berkaitan dengan bencana untuk 180 hari pertama, di atas permintaan gabenor California Gabin Newsom dari Demokrat.
Biden berkata beliau telah menambah 400 anggota bomba persekutuan dan 30 kapal terbang dan helikopter bomba ke Los Angeles, sementara Pentagon akan menghantar lapan pesawat besar dan 500 kakitangan pembersihan kebakaran hutan.
Naib Presiden dan bekas calon presiden Kamala Harris, yang berasal dari California, menyifatkan kebakaran itu sebagai “apokaliptik”.
Harris turut mengetengahkan apa yang beliau katakan adalah kes di mana beberapa syarikat insurans telah membatalkan tanggungan untuk keluarga yang kehilangan rumah dalam kebakaran itu.
Sementara itu Biden cuba menyangkal dakwaan oleh bakal presiden Donald Trump bahawa terdapat kekurangan air yang menyebabkan anggota bomba mengalami kesukaran untuk memadamkan api.
Biden berkata masalah itu berpunca daripada ketiadaan elektrik – selepas syarikat utiliti memutuskan bekalan elektrik kerana bimbang bahawa wayar elektrik yang bermasalah akan menyebabkan lebih banyak kebakaran – yang menyebabkan paip air tidak berfungsi.
Trump, yang akan dilantik sebagai presiden bagi penggal keduanya pada 20 Januari, telah menggunakan kebakaran itu untuk melancarkan serangan politik terhadap Biden dan Newsom.
|