VINCHAI terkorban dalam nahas di luar stadium Leicester. FOTO AFP
London: Keluarga ahli perniagaan Thailand, Vichai Srivaddhanaprabha, yang meninggal dunia dalam nahas helikopter pada 2018, memfailkan tindakan undang-undang terhadap pengeluar helikopter Itali, Leonardo SpA, di mahkamah London dengan nilai tuntutan sebanyak £2.15 bilion (RM11.95 bilion).
Keluarga Vichai berkata, dalam satu kenyataan bahawa tindakan undang-undang ini, yang menuntut ganti rugi atas kehilangan pendapatan dan kerosakan lain, adalah tuntutan kemalangan maut terbesar dalam sejarah undang-undang England.
Leonardo tidak memberikan respons segera terhadap permintaan komen melalui emel.
Vichai adalah pemilik kelab bola sepak Leicester City, membeli kelab di tengah England itu pada 2010.
Leicester memenangi Liga Perdana Inggeris pada 2016 di bawah pemilikan beliau.
Juruterbang Eric Swaffer, pasangannya Izabela Roza Lechowicz, serta dua anggota kakitangan Vichai, Nusara Suknamai dan Kaveporn Punpare, juga terkorban dalam nahas helikopter pada 2018, sejurus berlepas dari luar Stadium King Power Leicester City selepas perlawanan Liga Perdana Inggeris.
Laporan dari Air Accidents Investigation Branch (AAIB) Britain pada 2023 mendapati bahawa juruterbang tidak dapat memulihkan keadaan helikopter Leonardo AW169 selepas berlaku kegagalan rotor ekor.
Leonardo menyatakan selepas laporan itu bahawa helikopter AW169 mereka kekal selamat untuk diterbangkan dan bahawa AAIB membuat kesimpulan bahawa reka bentuk dan pembuatan AW169 mematuhi semua keperluan peraturan yang ditetapkan.
Disiarkan pada: Januari 11, 2025
|