Wartawan mengerumuni kereta yang membawa Sala yang tiba di rumahnya di Rom kelmarin selepas dibebaskan oleh Iran. - Gambar AFP
ROM: Seorang wartawan Itali yang ditahan di Iran dan dipenjarakan selama tiga minggu telah dibebaskan dan kembali ke Itali, kata pejabat Perdana Menteri Giorgia Meloni kelmarin.
“Pesawat yang membawa pulang wartawan Cecilia Sala berlepas dari Tehran beberapa minit lalu hasil kerja keras melalui saluran diplomatik dan risikan,” kata pejabat Meloni dalam satu kenyataan.
“Rakan senegara kami telah dibebaskan oleh pihak berkuasa Iran untuk pulang ke Itali. Perdana Menteri Giorgia Meloni melahirkan rasa terima kasihnya kepada semua pihak yang membantu membolehkan Cecilia kembali semula, membenarkannya untuk bersama semula keluarga dan rakan sekerjanya,” kata pejabatnya.
Meloni secara peribadi memaklumkan ibu bapa Sala tentang pembebasannya melalui telefon, tambahnya.
Sala, 29, ditahan pada 19 Disember, sejurus selepas Amerika Syarikat dan Itali menahan dua warga Iran atas pelanggaran eksport yang dikaitkan dengan serangan maut ke atas askar Amerika.
Wartawan itu, yang menulis untuk akhbar harian Itali Il Foglio dan menjadi hos podcast berita yang diterbitkan oleh Chora Media, disimpan dalam pengasingan di penjara Evin di Tehran.
Sala memberitahu keluarganya dia telah dipaksa tidur di atas lantai di dalam sel dengan lampu menyala secara kekal.
Itali dan Iran memanggil duta masing-masing minggu lalu selepas Rom memberi amaran bahawa usaha untuk mendapatkan pembebasannya adalah rumit.
Sala pergi ke Iran pada 13 Disember dengan visa wartawan. Dia ditangkap enam hari kemudian kerana “melanggar undang-undang Republik Islam Iran”, kata kementerian kebudayaan negara itu, yang mengawasi dan memberi akreditasi kepada wartawan asing.
Dia sepatutnya pulang ke rumah pada hari berikutnya.
Pada Isnin, pihak berkuasa Iran menafikan sebarang kaitan antara penahanan Sala dan warga Iran Mohammad Abedini, yang ditahan di Itali pada Disember atas arahan Amerika Syarikat berhubung pelanggaran eksport yang dikaitkan dengan serangan maut ke atas askar AS.
|