Serang peguam: 22 ditahan, 4 didakwa termasuk suspek utama
Oleh BERNAMA - Disember 27, 2024 @ 5:00pm
Foto hiasan.
GEORGETOWN: Polis menahan 22 lelaki termasuk suspek utama bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang peguam diserang sehingga cedera di hadapan sebuah kedai kopi di Persiaran Karpal Singh, di sini pada 22 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad, berkata mereka ditahan secara berasingan dalam beberapa siri serbuan baru-baru ini dengan terkini suspek utama iaitu lelaki berusia 46 tahun yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada jam 10.50 malam tadi.
"Lelaki bekerja sebagai kontraktor itu ditahan sebaik tiba dari luar negara dan dibawa ke Mahkamah Majistret Pulau Pinang hari ini untuk didakwa di bawah Seksyen 324 dan 109 Kanun Keseksaan.
"Tiga lelaki yang juga sebahagian daripada individu yang ditahan sebelum ini juga telah didakwa di mahkamah mengikut seksyen sama pada Selasa lalu.
"Berdasarkan siasatan polis suspek utama dikesan berdendam dan tidak berpuas hati dengan mangsa selepas peguam berusia 37 tahun itu menang satu kes sivil terhadapnya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Rozak berkata, dengan tangkapan dan pertuduhan empat lelaki berkenaan, polis percaya kes itu berjaya diselesaikan.
Pada 26 Oktober lalu, Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata kejadian serangan itu berlaku kira-kira jam 9.50 pagi di hadapan sebuah kedai kopi di Jalan Persiaran Karpal Singh, menyebabkan mangsa menerima tujuh jahitan di kepala.
Badan Peguam Malaysia juga dalam kenyataan memaklumkan pihaknya terkejut dengan serangan terhadap seorang daripada ahli badan berkenaan.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/12/1341781/serang-peguam-22-ditahan-4-didakwa-termasuk-suspek-utama
|