'Tak sangka kemalangan saya lihat babit adik dan ipar'
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Disember 27, 2024 @ 2:23pm [email protected]
Noriza Saad dan Marzlan Abu Hassan yang maut dalam kemalangan di Jalan Alor Pudak, Titi Haji Idris di Pendang. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli
ALOR SETAR: "Saya nampak ada kemalangan berlaku tapi tak berhenti pun dan teruskan perjalanan pulang ke rumah di Tanjung Musang, Langgar.
"Kira-kira dua jam kemudian, ibu saudara datang dan beritahu adik bongsu saya, Noriza Saad (34), dan suaminya, Marzlan Abu Hassan, (52), terbabit dalam kemalangan itu dan meninggal dunia di tempat kejadian," kata Kasuadinata Saad, 45.
Kasuadinata berkata, dia tidak menyangka kemalangan yang dilihatnya itu membabitkan adiknya sendiri dan hanya nampak dua motosikal terbalik di atas jalan tetapi tidak perasan nombor pendaftaran motosikal kerana cuaca gelap.
Katanya, dia ketika itu kebetulan lalu di kawasan kemalangan itu di Jalan Alor Pudak, Titi Haji Idris, Pendang yang terletak tidak jauh dari rumahnya di Tanjung Musang.
"Saya dimaklumkan Noriza dan suaminya dalam perjalanan pulang ke rumah di Tanjung Musang selepas menghadiri kenduri di Sungai Tok Pawang, Gurun dengan menaiki motosikal sebelum nahas itu berlaku.
"Mereka meninggalkan dua anak perempuan kembar berusia lebih setahun iaitu Cinta dan Qaseh manakala dua lagi anak Noriza dengan suami dahulu berusia belasan tahun tinggal bersama mereka.
"Ketika kejadian, mereka meninggalkan empat anak mereka itu di rumah," katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.
Kasuadinata berkata, adiknya bekerja sebagai pembantu kedai makan manakala suaminya pula bekerja sebagai buruh.
Beliau berkata, mereka sekeluarga reda dengan pemergian arwah dan akan terus menjaga empat anak adiknya itu.
"Jenazah mereka akan dibawa ke Masjid Al Maarif, Tanjung Musang untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan dalam satu liang selepas segala urusan di sini selesai," katanya.
Sementara itu, abang seorang lagi mangsa yang maut, Muhammad Adam Awang Saidin, 14, berkata, dia dan adiknya, Muhammad Aidil pergi ke sebuah dobi di Pendang untuk mencuci pakaian dengan menaiki motosikal berasingan.
Katanya, sementara menunggu pakaian selesai dicuci, dia mengajak adiknya serta seorang lagi rakan bersiar-siar di sekitar kawasan itu.
"Pada mulanya Aidil menolak untuk ikut bersama, tetapi saya mengajaknya dan dia menunggang motosikal seorang diri manakala saya menaiki motosikal lain bersama seorang rakan.
"Adik pergi dahulu manakala saya dan rakan berada di belakang. Namun sebaik tiba di lokasi saya nampak ada kemalangan sebelum ternampak adik saya terbaring di tepi jalan.
"Ketika itu saya panggil nama 'Aidil' beberapa kali dan suruh dia mengucap tetapi dia tidak beri sebarang tindak balas," katanya.
Muhammad Adam berkata, hubungan mereka berdua sangat rapat dan arwah anak bongsu daripada lima beradik dan dia pula anak keempat.
Jenazah Muhammad Aidil dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Tempoyak, Jalan Ayer Puteh, Pendang.
Media sebelum ini melaporkan, sepasang suami isteri dan seorang remaja lelaki maut selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan dua motosikal dengan sebuah kereta di Jalan Alor Pudak, Titi Haji Idris, di sini malam tadi.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/12/1341690/tak-sangka-kemalangan-saya-lihat-babit-adik-dan-ipar
|