'Bukan sekali tapi tiga kali dilambung ombak tsunami 25 meter' - Pak Mad
Oleh Siti Aminah Mohd Yusof - Disember 27, 2024 @ 7:00am[email protected]
Nelayan warga emas, Ahmad Din memeriksa pukatnya sebelum bersiap turun ke laut di jeti Kuala Pulau Betong, Pulau Pinang. - Foto AMINAH YUSOF
BALIK PULAU: Tanggal 26 Disember ibarat hari lahir buat Ahmad Din, yang terselamat dari tragedi Tsunami meskipun bot dikemudinya melambung setinggi kira-kira 25 meter di kawasan Pulau Betong di sini, 20 tahun lalu.
Warga emas berusia 70 tahun yang akrab disapa Pak Mad sebelum itu melihat ketibaan ombak tersebut tidak ubah seperti lembaga besar dengan kelajuan tinggi menghala ke arahnya yang ketika itu baru melabuhkan pukat kira-kira jam 12.30 tengah hari.
"Semasa kejadian, saya turun ke laut berdua dengan kawan. Bila ombak besar datang, ia lambung bot kami naik 'menyucuk' macam roket. Kemudian meluncur ke bawah. Bukan sekali, tetapi tiga kali, berselang-selang naik turun.
"Kalau ikut logik, bot sudah terbalik. Kami hanya mampu berpegang kuat pada bot sambil tidak henti-henti mengucap. Alhamdulillah, Allah lindung, kami selamat tanpa cedera," katanya ketika ditemui di jeti nelayan Kuala Pulau Betong, di sini, semalam.
Pak Mad berkata, ketika keadaan agak reda dia sudah tidak nampak laluan yang biasa digunakan dan terpaksa melalui kawasan daratan yang dinaiki air sehingga setinggi pokok ru untuk balik ke jeti dan mendapati kebanyakan rumah penduduk dan premis kedai musnah dibadai ombak.
"Masa kami di tengah laut, kami nampak Pantai Pasir Panjang sayup-sayup dari kejauhan. Ada bertakbir ada yang menjerit minta tolong. Tetapi kami nak tolong pun tak boleh, nasib kami sendiri belum tahu," katanya.
Bapa kepada tiga anak itu berkata, tiga bulan dia tidak turun ke laut kerana trauma namun dia akhirnya kembali meneruskan rutin sebagai nelayan sehingga ke hari ini dan hanya bercuti seminggu sekali iaitu pada Jumaat.
"Bot dan enjin tidak rosak cuma saya rasa tidak boleh tengok bot itu. saya gagahkan juga guna selama enam hingga tujuh bulan sementara nak beli bot baharu. Insya-Allah selagi sihat, sampai bila-bila saya akan jadi nelayan.
"Sekarang saya pergi ke laut bersama anak lelaki bongsu. Kawan yang selalu teman saya dulu pun sudah meninggal dunia hampir 10 tahun," katanya.
Beliau berkata, perasaan gerun tetap hadir jika dia membayangkan laut yang dianggap seperti sahabat berubah ganas namun peristiwa silam menjadi pengalaman berharga untuk berdepan situasi luar jangka ketika keluar mencari rezeki.
"Bila tengok ombak, hati tergerak juga, 'benda' ini akan jadi besar lagi ke macam hari itu, jadi kami sentiasa beringat, selalu ikuti berita semasa kalau tengok cuaca berubah, saya cepat-cepat ajak anak balik," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/12/1341533/bukan-sekali-tapi-tiga-kali-dilambung-ombak-tsunami-25-meter-pak-mad
|