CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 87017|Reply: 1

[Pulau Pinang] Ombak tsunami 'hantar bayi ajaib' kembali ke pantai

[Copy link]
Post time 25-12-2024 04:59 PM | Show all posts |Read mode
Ombak tsunami 'hantar bayi ajaib' kembali ke pantai


Disember 25, 2024 @ 12:50pm



Suppiah (kiri) dan Annalmary menunjukkan keratan akhbar mengenai berita Thulaashi yang terselamat dalam kejadian tsunami pada 2004. - Foto BERNAMA



GEORGETOWN: Dua puluh tahun lalu, gempa bumi kuat berukuran 9.1 magnitud yang melanda pantai barat Sumatera Utara, Indonesia, turut menggegarkan pesisir pantai sekitar Pulau Pinang.

Peristiwa itu menyebabkan puluhan mangsa yang kebanyakannya sedang bermandi-manda serta berkelah di pantai, termasuk di Batu Ferringhi, Balik Pulau dan Kuala Muda, turut terkorban.

Detik mendebarkan itu kekal terpahat dalam sanubari pasangan suami isteri, A Suppiah, 75, dan L Annalmary, 62, apabila bayi mereka, S Thulaashi yang baru berusia 22 hari ketika itu dihanyutkan ombak di Pantai Miami, Tanjung Bungah.

Dalam kejadian itu, gelombang pertama ombak muncul sejauh 600 kilometer (km) dari Sumatera ke Pulau Pinang dengan kelajuan mencecah 800km sejam, lalu menghanyutkan Thulaashi yang sedang nyenyak tidur atas tilam di kafe keluarganya berhampiran pantai berkenaan.

Namun, bagaikan satu keajaiban apabila gelombang kedua pula seolah-olah 'menghantar' bayi itu kembali ke pantai dengan selamat.

Sejak itu, Thulaashi yang 'tidur' sepanjang kejadian berkenaan menjadi tajuk utama dunia sehingga mendapat jolokan 'Tsunami Miracle Baby' (Bayi Ajaib Tsunami).

Mengimbau detik itu, Annalmary berkata, beliau sedang berpantang ketika berdepan ombak besar tsunami yang 'menerjah' kafe diusahakan bersama suaminya.

Ketika itu, Annalmary berkata, Thulaashi sedang tidur dalam sebuah bilik di kedai terbabit, manakala beliau pula berada di bilik yang lain.

"Kejadian berlaku sangat pantas. Ketika dilanda ombak pertama, air dalam bilik tempat Thulaashi tidur mencecah hingga paras leher saya. Saya berusaha mencarinya dalam bilik itu sambil berharap dia selamat.

"Selepas 40 minit, saya dan suami masih berusaha mencari bayi kami tetapi gagal.

"Sehinggalah seorang lelaki Indonesia yang bekerja di sebuah tapak pembinaan tidak jauh dari kafe kami, datang memberitahu bahawa bayi selamat dan berada di atas tilam yang terdampar di pantai," katanya ketika ditemui Bernama di kafe mereka di Pantai Miami, di sini.

Bagi Suppiah pula, peristiwa tsunami itu tidak mungkin dapat dilupakan hingga akhir hayatnya kerana hampir kehilangan dua anak beliau tetapi kuasa Tuhan 'mengembalikan' mereka dalam keadaan selamat.

Pesara kerajaan negeri itu berkata, insiden berlaku sekelip mata dan keadaan sangat kelam-kabut ketika itu dengan suara jeritan serta tangisan mereka yang kehilangan insan tersayang.

Beliau berkata, paras air laut naik mendadak, dan hanya sempat menyelamatkan seorang lagi anak perempuannya, S Kanchana yang berusia 12 tahun ketika itu.

"Saya dan isteri panik serta menangis apabila mendapati Thulaashi hilang.

"Kemudian, kami diberitahu bahawa bayi kami berada di tengah laut, manakala Kanchana selamat dengan berpaut pada pokok pisang yang terletak kira-kira 10 meter dari kafe kami," katanya.

Sementara itu, Thulaashi yang kini berusia 20 tahun pula bersyukur kerana terselamat dalam insiden berkenaan.

"Saya mula mengetahui kisah tsunami itu yang diceritakan oleh bapa ketika berumur dalam lingkungan empat atau lima tahun," katanya yang sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengajian Perakaunan di Universiti Sains Malaysia (USM).

Malah, Thulaashi berkata, beliau juga akan terus membantu di kafe milik keluarganya di Pantai Miami itu kerana lokasi berkenaan menyimpan pelbagai memori.

Pada 26 Disember 2004, ombak tsunami yang tercetus berikutan gempa bumi berukuran 9.3 pada skala Richter di bawah dasar laut ke barat Pulau Sumatera, Indonesia, meragut lebih 200,000 nyawa di Indonesia, Thailand, India, Maldives dan Sri Lanka.

Di Malaysia, Pulau Pinang ialah antara negeri paling terjejas yang mencatat 52 daripada 68 korban di seluruh negara.

Esok, genap 20 tahun tragedi tsunami berkenaan. – BERNAMA

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/12/1341135/ombak-tsunami-hantar-bayi-ajaib-kembali-ke-pantai






Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 25-12-2024 05:00 PM | Show all posts

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-12-2024 12:15 PM GMT+8 , Processed in 0.927661 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list