CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 88466|Reply: 0

[Kedah] Tugu Tsunami abadikan kisah duka badai 2004

[Copy link]
Post time 25-12-2024 04:07 PM | Show all posts |Read mode
Tugu Tsunami abadikan kisah duka badai 2004

Oleh M Hifzuddin Ikhsan - Disember 25, 2024 @ 8:16am [email protected]






Memorial Tsunami dibina guna 26 bot nelayan yang rosak simbolik kejadian tsunami pada 26 Disember 2004 landa Kampung Kota, Kota Kuala Muda. - Foto NSTP/Wan Nabil Nasir




KUALA MUDA: Kenangan pahit 26 Disember 2004 kekal di ingatan penduduk 10 kampung sekitar Kota Kuala Muda, dengan ada antara mereka kehilangan kediaman akibat dibadai tsunami.

Ombak besar itu tercetus apabila berlaku gempa bumi kuat berskala 8.9 Richter di Lautan Hindi berdekatan perairan Pulau Sumatera, menyebabkan tsunami mencapai ketinggian enam meter iaitu purata ketinggian pokok kelapa.

Susulan gempa bumi itu, gelombang tsunami bergerak di lantai pantai sehingga ratusan kilometer sebelum membadai kawasan di Thailand, Sri Lanka, Myanmar, India, Somalia, Maldives dan mengorbankan ratusan ribu nyawa.

Di Malaysia, selain Kota Kuala Muda yang terjejas teruk, bencana itu turut membadai pesisir pantai Pulau Pinang, Perlis dan Selangor yang mengakibatkan 11 nyawa terkorban di Kedah selain 57 nyawa di negeri lain.

Bagi memperingati tragedi itu, Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPk) membina monumen dikenali sebagai Tugu Tsunami di persimpangan jalan masuk ke Kampung Kepala Jalan, Kota Kuala Muda.

Tugu ini dibina menggunakan 26 bot nelayan yang rosak ketika kejadian itu sebagai simbolik tarikh 26 Disember 2004 menjadi tanda ingatan terutama kepada generasi muda dan untuk penduduk yang terselamat dalam peristiwa itu.

Pembinaan tugu menggunakan bot yang ditindih juga adalah bagi menggambarkan suasana kelam-kabut selepas tsunami melanda apabila hampir semua perahu nelayan yang ditambat di pantai terpelanting ke darat.



Info di Memorial Tsunami di Kampung Kota, Kota Kuala Muda. - Foto NSTP/Wan Nabil Nasir

Ketika itu, ada bot nelayan dilaporkan melambung terkena rumah penduduk, jatuh di atas jalan raya dan ada yang tersangkut pada pokok.

Keadaan itu menyebabkan perahu terbabit mengalami kerosakan teruk dan tidak boleh digunakan lagi.

Berhampiran tugu berkenaan dibina Galeri Tsunami yang dirasmikan pada 2016 bagi menempatkan segala rekod dan gambar memaparkan kejadian, selain menempatkan rumah asal penduduk yang rosak dibadai gelora.

Pengawal keselamatan Galeri Tsunami, Hamidah Che Rus, 60, bersama anak perempuannya berusia 10 tahun ketika itu, menghadiri kenduri jiran, Awang Ismail, sebelum Kota Kuala Muda dibadai.

"Saya bersama tiga anak baru tiga bulan berpindah ke Kota Kuala Muda ketika itu kerana sebelumnya kami tinggal di Sungai Petani.

"Ketika berjalan ke rumah kenduri, saya nampak buih ombak di laut.

"Kami ingatkan perkara biasa tetapi ketika baru nak suap nasi, ombak pertama setinggi pokok kelapa menghempas dan meranapkan khemah kenduri, menyebabkan suasana kelam-kabut.

"Saya dan anak sempat berpaut pada pagar rumah bagi mengelak dibawa arus ke tengah laut. Saya letak anak pada timbunan kayu dan dahan pokok yang tersangkut di pagar sebelum ombak kedua membadai sekali lagi.

"Sebaik air surut, kami melarikan diri dan cuba pulang ke rumah tetapi rumah rosak teruk," katanya.

Hamidah sekeluarga terpaksa berlindung di pusat pemindahan dan menumpang di rumah saudara sebelum menetap di penempatan baharu Permatang Katong pada 2006.

"Saya trauma beberapa tahun dan mudah takut apabila mendengar bunyi deruan angin atau ombak menghempas.

"Saya memang tak ingat lagi tapi takdir Allah, rezeki saya dapat kerja di Galeri Tsunami yang juga bekas rumah jiran tempat saya makan kenduri dulu.

"Jadinya, setiap hari saya terpaksa mengimbau kenangan kejadian tsunami 2004," katanya.







Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-12-2024 12:20 PM GMT+8 , Processed in 0.378799 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list