Balik Pulau: Seorang bapa merayu kepada orang ramai supaya mengadakan solat hajat bagi memohon dipermudah urusan pencarian dua lelaki termasuk anaknya yang hilang selepas bot mereka hanyut dalam kejadian di perairan Kuala Sungai Pinang di sini, sejak Selasa lalu.
Operasi pencarian dan penyelamatan Muhammad Ikmal Hakimi Ismail, 22, yang juga berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pembelajaran dan rakan, Nor Hasrul Abdullah, 25, kini memasuki hari keempat.
Ismail Ibrahim, 51, berkata, selepas kejadian itu, beberapa masjid di sekitar daerah berkenaan turut menganjurkan solat hajat bagi memohon supaya dua mangsa yang masih bujang itu ditemui.
Katanya, dia dan keluarga juga reda dengan penemuan kedua-dua mangsa dalam apa juga keadaan.
"Saya mohon kepada orang ramai supaya lakukan solat hajat dan berdoa supaya anak saya dan rakannya ditemukan.
"Operasi pencarian membabitkan pasukan penyelamat dengan bantuan nelayan tempatan masih berterusan dan saya diberitahu bahawa ia bakal ditamatkan esok," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sebelum ini Harian Metro melaporkan mengenai dua rakan itu dilapor hilang dan dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki hanyut dalam kejadian pada jam 11.30 malam.
Tambah Ismail, sejak kejadian, mereka sekeluarga tidak lena tidur dan mengambil cuti daripada bekerja bagi membantu pencarian kedua-dua mangsa.
Katanya, Muhammad Ikmal Hakimi adalah seorang anak yang ringan tulang serta suka membantu keluarga dan rakan.
"Sebelum ini Muhammad Ikmal Hakimi bekerja sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan kerap mengikut rakannya turut ke laut kira-kira sebulan lalu.
"Ahad lalu, dia beritahu mahu jadi nelayan sepenuhnya serta akan berdaftar dengan unit nelayan tidak lama lagi dan saya tiada halangan mengenai hasrat itu
.
"Saya sudah menasihatinya supaya hentikan dulu aktiviti di laut kerana keadaan cuaca yang tidak menentu, tambahan pula dia juga tidak pandai berenang," katanya.
Sementara itu, Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Razali Kasim berkata, sektor pencarian kini menjangkau hampir sejauh 250 batu nautika persegi.
Katanya, keseluruhan kawasan sektor pencarian membabitkan sebanyak tiga aset laut dan dua pesawat udara oleh Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
"Operasi akan diteruskan sehingga Sabtu ini (esok) jika masih tiada petunjuk baharu yang diperolehi," katanya dalam kenyataan media hari ini.