Kepala Batas: Seorang suri rumah diperdaya individu menyamar sebagai anggota polis apabila menyerahkan barang kemas miliknya dianggarkan bernilai RM16,857 sebelum menyedari bahawa dia sebenarnya ditipu.
Insiden bermula apabila wanita berusia 38 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang menyamar sebagai kakitangan jualan dalam talian jam 9 pagi semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintendan C Tharmalingam, berkata mangsa kemudian diberitahu bahawa dia menjalankan perniagaan kosmetik di platform berkenaan tanpa mempunyai lesen.
"Panggilan mangsa seterusnya disambungkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang yang didakwa untuk semakan rekod jenayah.
"Mangsa kemudian dikatakan terbabit dalam kes pengedaran dadah dan penyeludupan wang haram.
"Individu yang tidak dikenali itu turut mengarahkan mangsa menyerahkan semua barang kemas miliknya kepada polis bagi tujuan siasatan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Jelasnya, mangsa bertemu dengan individu yang menyamar anggota polis di tepi jalan jam 1.30 petang pada hari sama dan menyerahkan barang kemas miliknya itu.
Tharmalingam berkata, mangsa akhirnya menyedari dia ditipu selepas gagal menghubungi semula individu yang berurusan dengannya sebelum tampil membuat laporan polis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.