Alor Setar: Pengusaha feri memberi jaminan perkhidmatan tambahan pada waktu malam akan disediakan dari Kuala Kedah ke Langkawi sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA '25).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Keusahawanan negeri Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, langkah itu bagi merancakkan industri pelancongan sempena Tahun Melawat Kedah 2025.
Menurutnya, pengusaha feri juga berjanji untuk tidak menaikkan harga tiket dalam tempoh berkenaan.
"Kami berharap Kementerian Pengangkutan akan menyokong pengusaha feri, sama ada melalui subsidi diesel atau bentuk bantuan lain bagi memastikan kelestarian perkhidmatan mereka.
"Pengusaha juga memberi jaminan berhubung kesediaan mereka untuk menempatkan feri lebih kecil untuk perjalanan harian ke Langkawi dan memudahkan pergerakan ketika LIMA '25 termasuk operasi malam jika perlu.
"Dengan kerjasama semua pihak, saya yakin sektor pelancongan Kedah akan terus berkembang maju," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Gotong-Royong Perdana Kedah di Pekan Kuala Kedah, di sini, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Norizan Khazali.
Mohd Salleh berkata, semua pihak berkepentingan dalam sektor pelancongan digesa bertindak secara bertanggungjawab bagi mengelak daripada mengganggu usaha kerajaan negeri mempromosikan industri itu.
"Saya sebelum ini sudah menegaskan kenaikan harga tiket feri akan menjejaskan persepsi pelancong terhadap Kedah secara negatif.
"Syukurlah, kenaikan tambang (feri) itu dibatalkan berikutan nasihat daripada Kementerian Pengangkutan dan kerajaan negeri," katanya.