Kangar: Kekurangan prasarana antara punca program Penanaman Padi Lima Musim Dalam Tempoh Dua Tahun di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) di negeri ini ditangguhkan buat sementara waktu.
Penangguhan program sejak Musim 1/2024 atau pertengahan tahun ini turut dipengaruhi benih padi tidak sesuai serta kejadian banjir yang sering melanda kawasan pertanian terutama sawah padi di Perlis.
Exco Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan negeri Razali Saad berkata, penangguhan program itu bersifat sementara, namun tiada jangka masa spesifik untuk penyambungan semula pelaksanaannya.
"Di Perlis, kita tidak dapat meneruskan program ini (untuk sementara waktu) yang dilaksanakan di Kampung Lat 1,000 Simpang Empat dan kawasan Pauh.
"Penangguhan terpaksa dilakukan atas beberapa faktor seperti kekurangan prasarana, ketiadaan benih padi sesuai untuk penanaman padi berkenaan dan bencana banjir.
"Disebabkan itu, kita tak dapat memberi sebaik mungkin perkhidmatan kepada petani... jadi kita tangguh (sementara) program ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penyerahan Bantuan Bencana Tanaman Negeri Perlis 2024 di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) E1 Simpang Empat, di sini, hari ini.
Turut hadir, adalah Pengarah Pertanian Perlis Hafizuddin Othman dan Pengurus Mada Wilayah 1, Sakinah Ahmad Tarmizi.
Terdahulu, Razali menyampaikan bantuan bencana tanaman kepada wakil 12 PPK yang menguruskan 628 pesawah yang terbabit dalam ribut dan banjir pada September serta Oktober lalu.
Katanya, pihaknya bagaimanapun memberi jaminan bahawa program itu akan diteruskan meskipun tiada jangka waktu yang ditetapkan.
"Penangguhan ini membabitkan 100 hektar sawah padi dan kita sedang melakukan perbincangan untuk menyambung semula program ini.
"Insya-Allah, kita akan teruskan program ini semula, namun buat masa ini kita belum lagi ada satu jangka waktu yang tepat untuk sambungan semula," katanya.