Koperal polis direman minta suapan RM80,000 lepaskan tahanan SOSMA
Oleh Siti Aminah Mohd Yusof - Disember 19, 2024 @ 10:02am [email protected]
Foto hiasan
GEORGETOWN: Seorang anggota polis berpangkat Koperal direman lima hari bagi membantu siasatan selepas dipercayai meminta suapan RM80,000 kononnya bagi membantu membebaskan suami seorang wanita yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Perintah reman dikeluarkan Majistret Azlan Basri terhadap suspek berusia 40-an itu bermula hari ini sehingga 23 Disember.
Sebelum itu, suspek yang memakai baju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiba di pekarangan mahkamah dalam keadaan tangan bergari menaiki kenderaan SPRM jam 8.40 pagi dan kemudiannya diiringi meninggalkan mahkamah jam 9.45 pagi.
Terdahulu, sumber SPRM Pulau Pinang, berkata pihaknya menahan seorang anggota penguat kuasa kerana dipercayai meminta rasuah kira-kira RM80,000 daripada seorang wanita kononnya bagi membantu membebaskan suaminya yang ditahan di bawah SOSMA.
Katanya, suspek disyaki menghubungi isteri lelaki itu melalui panggilan telefon pada 30 November lalu bertujuan meminta wang sebagai balasan mengubah keterangan untuk membantu suaminya dilepaskan daripada tahanan SOSMA.
"Suspek meminta wang pendahuluan kira-kira RM25,000 daripada wanita itu yang kemudian membuat beberapa pindahan wang menerusi sistem pembayaran e-dompet membabitkan nilai kira-kira RM3,000.
"Isnin lalu, suspek sekali lagi menghubungi wanita berkenaan dan meminta wang kira-kira RM2,000 secara tunai," katanya wanita itu menyerahkan wang kira-kira RM1,000 kepada suspek dalam pertemuan di sebuah stesen minyak di Sungai Dua, kira-kira jam 2 petang semalam sebelum dia ditahan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/12/1338836/koperal-polis-direman-minta-suapan-rm80000-lepaskan-tahanan-sosma
|