Edited by sfhzuraz at 18-12-2024 06:57 PM
Pengemis di lampu isyarat merimaskan
SITI ZUBAIDAH ZAKARAYA
18 Disember 2024 05:55pm
Seorang lelaki dilihat mendekati sebuah kenderaan berwarna merah dipercayai untuk meminta sedekah di hadapan Penjara Sungai Petani. Gambar kecil: Hantaran pengguna media sosial di Facebook mengenai aksi pengemis di lampu isyarat di Penjara Sungai Petani yang menimbulkan kebimbangan.
SUNGAI PETANI - Kemunculan pengemis yang menagih simpati di beberapa buah lampu isyarat di bandar ini mengundang kebimbangan pengguna jalan raya.
Akibat rimas, seorang pengguna media sosial telah memuat naik hantaran mengenai tindakan beberapa lelaki dipercayai gelandangan itu meminta sedekah daripada orang ramai ketika berhenti di lampu isyarat terbabit.
Berdasarkan hantaran pengguna bernama Liza Kassim, peminta sedekah dipercayai melakukan kegiatan itu bermula dari lampu isyarat Penjara Sungai Petani sehingga ke persimpangan Bangunan SP Plaza.
]
Selain lampu isyarat di hadapan Penjara Sungai Petani, simpang lampu isyarat di SP Plaza turut dikatakan menjadi sasaran pengemis minta sedekah.
Dakwanya dalam hantaran sama, terdapat seorang pengemis dipercayai menggunakan kerusi roda untuk menagih simpati selain ada yang mengetuk tingkap kereta dengan kuat.
"Harap pihak berkaitan tengok keadaan ini, tahun 2025 Tahun Melawat Kedah takut terjejas imej Sungai Petani," dakwanya melalui hantaran di Facebook.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian pada Rabu menemui peminta sedekah yang dilihat memakai kemeja-T warna merah mendekati sebuah kenderaan dipercayai bagi menagih simpati meminta wang.
Kejadian terbabit berlaku ketika lampu isyarat bertukar merah dari arah Penjara Sungai Petani menuju ke Lagenda Heights.
Lelaki berkenaan dilihat berjalan kaki di ruang pembahagi jalan dan singgah pada kenderaan yang berhenti akibat lampu isyarat merah untuk meminta sedekah.
Dalam tinjauan berbeza, seorang lagi lelaki berkemungkinan gelandangan dilihat berpakaian lengkap namun dalam keadaan tidak terurus mundar-mandir di tepi jalan berdekatan Penjara Sungai Petani dari arah Hospital Lama menuju ke arah pusat bandar.
]
Tinjauan Sinar Harian menemui seorang lelaki lengkap berpakaian namun tidak terurus dipercayai gelandangan berkeliaran di hadapan Penjara Sungai Petani.
Seorang pengguna yang mahu dikenali sebagai Halim, 35, berkata, lelaki terbabit dilihat sering berjalan kaki dari lokasi itu sehingga ke Pekan Lama Sungai Petani.
"Nampak dia ini suka berjalan merata, bercakap sendiri dan setiap kenderaan yang berada berdekatan ditegurnya, mungkin 'tidak sihat' tetapi tak nampak pula minta sedekah," katanya.
Seorang lagi pengguna yang hanya mahu dikenali sebagai Zaki, 33, berkata, pernah membantu seorang lelaki berkerusi roda melintas jalan ketika berada di hadapan lampu isyarat dekat penjara.
"Saya sendiri pernah turun dari kenderaan dan bantu mangsa untuk melintas jalan kerana kasihankan dia sebab seorang diri guna kerusi roda di jalan sesak ini," katanya.
Rakannya, Anas, 33, berkata, selain tolong bawa ke tempat selamat, mereka pernah beri wang saku kepada lelaki berkerusi roda terbabit selain menasihati agar berhati-hati kerana bimbang dirempuh kenderaan yang sedang bergerak di simpang lampu isyarat berkenaan.
"Bagaimanapun, lepas kejadian itu, masih nampak lelaki terbabit berada di simpang sama, kami fikir mungkin dia 'sakit'," dakwanya.
]
Simpang lampu isyarat di hadapan Penjara Sungai Petani yang didakwa menjadi sasaran pengemis minta sedekah.
Dia turut mendakwa, ada juga rakan lain berdepan situasi pernah diketuk cermin kereta oleh pengemis ketika menunggu lampu isyarat bertukar hijau bagi tujuan meminta sedekah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharudin Wan Ismail, mengingatkan pengguna jalan raya agar tidak 'melayani' permintaan individu meminta sedekah ketika berhenti di lampu isyarat.
Bagaimanapun, jelasnya, sekiranya individu terbabit dikesan bertindak agresif seperti memaksa orang ramai menghulurkan wang sehingga merosakkan kenderaan, laporan polis boleh dibuat.
Apabila ditanya jika terdapat individu bertindak keterlaluan dengan berkelakuan tidak sopan di khalayak, jelasnya, tindakan tegas boleh dikenakan.
"Boleh buat laporan polis jika ada aksi keterlaluan, kelakuan tidak sopan atau merosakkan kenderaan, supaya polis boleh buat siasatan lanjut.
"Tindakan penguatkuasaan kepada pengemis boleh juga dibuat oleh pelbagai agensi termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) jika disyaki terlibat penggunaan bahan terlarang, tidak bergantung kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) semata-mata," jelas beliau.
https://www.sinarharian.com.my/article/702898/edisi/utara/pengemis-di-lampu-isyarat-merimaskan
|