Edited by sfhzuraz at 18-12-2024 02:30 PM
CAP gesa denda maksimum kepada perokok termasuk VIP
SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI
18 Disember 2024 02:07pm
Laporan Sinar Harian berkaitan Tok Mat akan diberi notis, kompaun merokok di kawasan larangan. Gambar kecil: Subbarow
GEORGE TOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya mengenakan denda maksimum kepada perokok termasuk golongan kenamaan dan pemimpin negara yang merokok di kawasan larangan.
Pegawai Pendidikan CAP, NV Subbarow berkata, tiada mana-mana pihak boleh dikecualikan daripada undang-undang yang telah ditetapkan.
Menurutnya, CAP turut menggesa KKM supaya bersikap tegas terhadap pesalah seperti yang dijanjikan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad tanpa memilih kasih.
"CAP menggesa KKM supaya tegas melaksanakan Akta 852 (Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024). Jangan ada pilih kasih terhadap mana-mana perokok termasuk golongan kenamaan atau pemimpin negara.
"Ini kerana, di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018, sesiapa yang didapati merokok di kawasan larangan merokok boleh didenda sehingga RM10,000 dan penjara dua tahun.
"Selain itu, Seksyen 16 Akta 852 pula menyebut sesiapa yang merokok di kawasan yang diisytiharkan sebagai zon larangan merokok boleh didenda sehingga RM5,000. Oleh itu, KKM perlu tegas dengan hukuman-hukuman ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, tular gambar yang memaparkan individu dipercayai Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan sedang memegang rokok bersama sekumpulan lelaki.
Pemilik akaun itu juga memaparkan poster mengenai 28 tempat larangan merokok oleh KKM.
Susulan daripada itu, Dzulkefly berkata, pegawai dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seremban akan berjumpa Mohamad pada Rabu untuk menyerahkan notis kesalahan dan kompaun atas kesalahan merokok di kawasan larangan.
Dzulkefly juga mengesahkan bahawa Mohamad sendiri minta KKM mengeluarkan kompaun ke atas kesalahan tersebut dan akan membayar kompaun tersebut.
Mengulas mengenai perkara itu, Subbarow berkata, CAP menyambut baik jaminan yang diberikan Dzulkefly bahawa undang-undang itu akan dikuatkuasakan dengan tegas terhadap Mohamad.
"Beliau (Dzulkefly) mesti menepati janjinya untuk mengenakan kompaun terhadap Mohamad.
"Tetapi harus diingat, ia bukan soal membayar kompaun atau tidak tetapi Menteri yang meluluskan rang undang-undang di Parlimen mesti lah mengikut akta itu," katanya.
https://www.sinarharian.com.my/article/702839/berita/semasa/cap-gesa-denda-maksimum-kepada-perokok-termasuk-vip
|