Suspek diiringi keluar dari bilik mahkamah. - Gambar Galileo Petingi
KUCHING: Mahkamah Majistret di sini hari ini menahan reman tiga lagi suspek berhubung kes pembunuhan seorang lelaki berusia 22 tahun di pangsapuri di Jalan Sungai Tapang dekat sini.
Majistret Ling Hui Chuan memerintahkan seorang suspek direman enam hari sehingga 21 Disember manakala dua lagi direman tujuh hari sehingga 22 Disember mulai esok (16 Disember).
Ini susulan permintaan polis untuk menahan reman suspek mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi meneruskan siasatan mereka.
Suspek keempat dan kelima, yang ditahan di luar Mahkamah Kuching pada 14 Disember tidak diwakili peguam manakala suspek keenam ditahan di Balai Polis Kota Sentosa petang itu, diwakili peguam Roger Chin.
Pada 1 Disember, polis menerima panggilan kira-kira jam 4.40 pagi berhubung pertengkaran di kompleks pangsapuri itu.
Setibanya di tempat kejadian, polis mendapati mangsa maut ditetak di salah sebuah unit biliknya.
Sebelum ini tiga suspek ditahan dalam masa beberapa jam selepas penemuan mayat itu, yang mana mahkamah telah membenarkan pembebasan ketiga-tiga mereka berikutan tamat tempoh perintah reman mereka.
Majistret Mason Jaro Lenya Barayan membenarkan permohonan polis untuk membebaskan ketiga-tiga mereka dengan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin tempatan setiap seorang, mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah.
|