CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 8053|Reply: 0

[Sarawak] IPD Sibu serius tangani kes curi kabel elektrik

[Copy link]
Post time 17-12-2024 03:30 PM | Show all posts |Read mode


SIBU: Kes kecurian kabel elektrik di bawah seliaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu semakin menjadi perhatian serius pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili (gambar) mendedahkan pada tahun ini sahaja, sebanyak 10 kes kecurian kabel dan transformer telah dilaporkan, dengan kerugian keseluruhan mencecah RM91,150.

"Dari 10 kes yang dilaporkan, lapan telah berjaya diselesaikan, termasuk penangkapan terkini melibatkan kes pada 28 November," katanya ketika ditemui Utusan Borneo.

Beliau menekankan penjenayah tidak bertindak sendirian, tetapi lebih kepada kumpulan kecil, terdiri daripada dua hingga empat individu.

Zulkipli memaklumkan, kes kecurian kabel ini bukan dilakukan oleh sindiket besar, tetapi oleh kumpulan penjenayah yang terlatih, mampu menangani risiko melibatkan arus elektrik.

"Kerja ini memerlukan kemahiran dan kita dapati mereka mencari ruang dan peluang tanpa mengira waktu," jelasnya.

Beliau turut mendedahkan penjenayah yang ditangkap termasuk kumpulan 'Geng Culitey' dan 'Geng Ah Boy,' dengan hukuman penjara antara tiga hingga enam bulan, serta denda sehingga RM5,000.

Namun katanya, dua kes termasuk kes terbaharu masih dalam siasatan pihak polis.

Dalam menangani isu ini katanya, IPD Sibu telah menjalinkan kerjasama rapat dengan SESCO dan syarikat-syarikat telekomunikasi untuk meningkatkan kawalan keselamatan terhadap infrastruktur awam.

Ujarnya, mesyuarat khas turut diadakan bagi menubuhkan kumpulan kerja bersama untuk menjalankan operasi bersepadu di lokasi-lokasi sasaran.

"Melalui operasi ini, kami mengenal pasti premis yang berpotensi melanggar undang-undang dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka," katanya.

Zulkipli turut menyeru masyarakat untuk memainkan peranan aktif dengan melaporkan aktiviti mencurigakan kepada polis.

"Jika ada tanda-tanda jenayah, maklumkan segera kepada bilik gerakan atau balai polis terdekat. Kerjasama masyarakat amat penting dalam membantu kami mencegah jenayah ini," tegasnya.

Di samping itu katanya, penggunaan teknologi seperti pemasangan kameran litar tertutup (CCTV) juga digalakkan untuk memantau kawasan yang berisiko tinggi.

Selain itu, rondaan oleh unit MPV, URB dan balai polis turut diperhebatkan untuk memastikan keselamatan kawasan yang terjejas, katanya.

Zulkipli menegaskan pihak polis akan terus memantau perkembangan jenayah ini dan memperkukuhkan kerjasama dengan agensi-agensi berkaitan.

"Kami komited untuk melindungi harta benda awam dan memastikan ketenteraman masyarakat terpelihara.

"Kes kecurian kabel elektrik ini bukan hanya menjejaskan bekalan utiliti, tetapi juga kehidupan harian penduduk," katanya lagi.

Beliau menambah dengan usaha bersepadu antara pihak berkuasa dan masyarakat, diharapkan ancaman ini dapat dibendung, menjamin keselamatan dan ketenteraman di kawasan setempat.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

18-12-2024 01:20 PM GMT+8 , Processed in 0.039763 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list