Uggah memukul gong sebagai simbolik perasmian Mesyuarat PBB Cawangan Mambong, hari ini. Turut kelihatan, Dr Jerip (dua kanan).
KUCHING: Penanaman kopi berpotensi menjadi aktiviti ekonomi utama di kawasan Mambong, kata Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Menurutnya, penanaman kopi terbukti cukup menjanjikan sebagai aktiviti menjana pendapatan sejak diperkenalkan di Mambong beberapa tahun lalu.
"Saya difahamkan kini ada rancangan untuk mengusahakan tanaman itu secara besar-besaran.
"Terdapat juga rancangan untuk menubuhkan kemudahan pemprosesan moden.
"Saya mesti mengucapkan tahniah kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong Datuk Dr Jerip Susil atas usaha beliau mempromosikan penanaman kopi," ujarnya.
Uggah (kiri) bersalaman dengan Dr Jerip selepas merasmikan Mesyuarat PBB Cawangan Mambong, hari ini.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Mesyuarat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Mambong di sebuah hotel di sini, hari ini.
Tambah Uggah, jika setiap satu daripada kira-kira 5,000 isi rumah di Mambong menanam sehektar kopi, maka kawasan itu boleh menjadi kopi ‘belt’ Sarawak.
Ini sekali gus katanya, akan memberi pulangan besar kepada para petani yang terlibat dalam penanaman kopi.
Mengenai politik, Uggah yang juga Timbalan Presiden PBB berkata, usaha meningkatkan pendapatan rakyat adalah antara perjuangan utama PBB.
Katanya, Sarawak bertuah kerana mempunyai pemimpin yang sangat berwawasan seperti Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Justeru, beliau menyeru ahli-ahli PBB dan seluruh rakyat Sarawak berdiri teguh di belakang Premier Sarawak dalam memperjuangkan hak-hak negeri yang terhakis di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
|