Tiong (tiga kiri) merakamkan kenangan bersama pegawai-pegawai kanan kesihatan dan perubatan Bintulu pada majlis tersebut.
BINTULU: Pembesaran Hospital Bintulu telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Rolling Plan 1 (RP1) dengan penambahan bahagian sayap baharu yang mampu menempatkan 500 katil.
Menteri Pelancongan Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing berkata, apabila siap kelak ini akan meningkatkan jumlah keseluruhan katil di Hospital Bintulu kepada 839.
Menurutnya, beliau telah membangkitkan kepentingan kemudahan awam yang mencukupi dalam pembesaran hospital itu, termasuk sekurang-kurangnya 3,000 tempat letak kereta untuk menampung jumlah penduduk Bintulu yang semakin meningkat.
"Saya menyeru semua pihak yang berkenaan untuk menyegerakan projek ini. Penglibatan semua pihak berkepentingan terutamanya penduduk yang mendapat kemudahan kesihatan di sini amat perlu untuk memastikan kejayaan projek ini," ujarnya,
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Makan Malam Gala 2024 bertemakan 'One Night in Shanghai' anjuran Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu di sebuah restoran di Bintulu Sentral di sini, malam semalam.
Tiong berkata, projek itu adalah untuk memenuhi keperluan penjagaan kesihatan kritikal rakyat dan kelewatan bukanlah satu pilihan kerana ia memberi kesan secara langsung kepada kesejahteraan komuniti.
"Saya yakin usaha dan kesungguhan bersama, projek ini akan dapat disiapkan dengan pantas, sekali gus menggesa semua penyedia penjagaan kesihatan untuk menerima pembelajaran berterusan dalam meningkatkan kemahiran dan pengetahuan," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong.
Katanya lagi, tanpa menutup jurang dalam akses, kemampuan dan kualiti penjagaan kesihatan terutamanya di kawasan luar bandar perlu kekal sebagai keutamaan.
Justeru katanya, komunikasi terbuka adalah penting untuk kakitangan penjagaan kesihatan serta perlu bebas untuk menyuarakan kebimbangan dan bekerja secara kolaboratif untuk mengatasi cabaran.
"Kita perlu terus memupuk inovasi dan membina sistem penjagaan kesihatan yang memenuhi keperluan semua rakyat Sarawak supaya dapat mengatasi cabaran, meningkatkan akses dan memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan," katanya.
Pada masa sama, Tiong mengucapkan terima kasih kepada Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr Melvin Chung Hsien Liang dan pasukannya yang berdedikasi dalam menganjurkan malam gala tersebut.
"Kita berkumpul untuk meraikan dedikasi yang tidak berbelah bahagi dan sumbangan luar biasa profesional perubatan melibatkan jururawat, doktor, ahli farmasi dan penyedia penjagaan kesihatan," katanya.
Ujarnya, usaha gigih mereka telah memainkan peranan penting dalam menjaga kesihatan dan kesejahteraan rakyat Sarawak khususnya di Bintulu, memandangkan komitmen itu akan terus menuju ke arah masa depan yang lebih sihat dan cerah.
Katanya, malam penghargaan itu bukan sahaja meraikan sumbangan mereka, tetapi juga menyediakan platform untuk memupuk hubungan yang lebih kukuh.
"Saya berharap ini memberi inspirasi kepada kerjasama yang lebih erat dan penglibatan yang lebih baik, mengukuhkan ikatan profesional untuk menangani keperluan komuniti kita dengan lebih berkesan," katanya.
Tambahnya, Bintulu menyaksikan perubahan luar biasa dalam penjagaan kesihatan daripada inisiatif kesihatan pencegahan kepada rawatan khusus dengan usaha pasukan perubatan telah meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan dengan ketara dan memperkasakan komuniti untuk menjalani kehidupan lebih sihat.
|