Yayasan Ekonomi Kewangan Antarabangsa salur bantuan kepada mangsa banjir Kedah
Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi - Disember 16, 2024 @ 5:03pm [email protected]
Yayasan Ekonomi Kewangan Antarabangsa menyalurkan 500 set pek makanan dan 180 set tilam kepada mangsa banjir di Kedah, baru-baru ini.
KUALA LUMPUR: Yayasan Ekonomi Kewangan Antarabangsa menyalurkan 500 set pek makanan dan 180 set tilam kepada mangsa banjir di Kedah, baru-baru ini.
Naib Presiden Yayasan Ekonomi Kewangan Antarabangsa, Aida Lim Abdullah, berkata pihaknya bekerjasama rapat dengan Khidmat Malaysia Negeri Kedah untuk melaksanakan inisiatif bantuan kemanusiaan itu.
"Kawasan terjejas yang menerima bantuan pek makanan dan tilam termasuk di Pokok Sena, Kubang Pasu, Kuala Kedah, Alor Setar, Sik, Jerlun dan Padang Terap," katanya.
Majlis penyerahan bantuan itu disempurnakan oleh Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Ahmad Yahaya di Bilik Operasi Khidmat Malaysia, Markas PAS Kawasan Pokok Sena.
Sementara itu, Ketua Operasi Khidmat Malaysia Kedah, Mohd Saifuddin Hassan, berkata setiap kawasan terjejas diperuntukkan 30 set tilam.
Katanya, kawasan terjejas turut menerima 50 sehingga 100 set pek makanan keperluan asas seperti beras, gula dan lain-lain.
"Mangsa banjir turut menerima serbuk pencuci, makanan segera seperti mee, mee hoon, kopi, biskut dan barangan lain.
"Inisiatif ini jelas menggambarkan semangat kejiranan dan solidariti komuniti dalam menghadapi dugaan akibat banjir. Bencana tidak memilih mangsa dan semua turut merasai simpati kepada mangsa banjir," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/12/1337754/yayasan-ekonomi-kewangan-antarabangsa-salur-bantuan-kepada-mangsa
|