GISBH: Pemulihan akidah pimpinan atasan guna silibus khas, modul sedang dirangka
Oleh Noorazura Abdul Rahman - Disember 15, 2024 @ 6:34pm [email protected]
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar menyampaikan sumbangan pada Misi Bantuan Banjir Ihsan MADANI Kedah di Maahad Tarbiah Islamiah Derang. - NSTP/ WAN NABIL NASIR.
ALOR SETAR: Modul dibangunkan jawatankuasa khas berhubung silibus pemulihan akidah pengikut GISB Holdings (GISBH) sudah siap dan bakal dibentangkan kepada pihak berkaitan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata jawatankuasa berkenaan dipengerusikan Ahmad Fauwaz Fadzil ketika ini juga sedang menyiapkan satu rangka modul khas yang membabitkan pemimpin-pemimpin peringkat atasan organisasi terbabit.
"Saya ingat telah siap kajian yang dibuat, cuma laporan itu belum dikemukakan... saya dimaklumkan yang semua modul yang melibatkan (pengikut) dewasa, modul yang melibatkan kanak-kanak yang terlibat dalam GISB ini telah siap.
"Mereka (jawatankuasa khas) juga tengah menyiapkan rangka modul khas yang melibatkan ketua-ketua pimpinan atasan GISB yang sekarang ditahan.
"Insya-Allah apabila kita sudah lengkap kita akan dapatkan kebenaran Menteri Dalam Negeri supaya jawatankuasa yang terlibat boleh bertemu dan berbincang dan menyampaikan modul yang telah siap melibatkan ketua-ketua GISB yang ditahan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Misi Bantuan Banjir di Maahad Tarbiah Islamiah Derang, Pokok Sena di sini, hari ini.
Sebelum ini, Mohd Na'im dilaporkan berkata tujuh modul silibus bagi pemulihan akidah pengikut GISBH sedang dibangunkan jawatankuasa khas yang kini berada di peringkat akhir.
Katanya, modul berkenaan adalah akidah dewasa, akidah kanak-kanak, rohani dan jati diri, Pendidikan Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), pembangunan remaja, kepimpinan umat insaniah serta modul psikospiritual.
Aspek deradikalisasi turut akan menjadi sebahagian daripada modul yang akan digunakan dalam pemulihan akidah kanak-kanak GISBH.
Fokus itu antara ditekankan dalam usaha menangani kemelut akar umbi radikalisasi dicetuskan kepercayaan dan pegangan salah.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/12/1337366/gisbh-pemulihan-akidah-pimpinan-atasan-guna-silibus-khas-modul
|