Langkawi: Kementerian Pengangkutan meminta
Ferry Line Ventures Sdn Bhd(Ferry Line) menarik balik serta-merta pengumuman kenaikan tiket feri dari Kuala Perlis dan Kuala Kedah ke Langkawi yang diumumkan syarikat itu pagi tadi.
Menterinya, Anthony Loke berkata, pengusaha feri terbabit perlu menarik balik pengumuman yang dibuat mereka dengan serta-merta, seterusnya berunding dengan pihak kementerian dalam masa terdekat.
"Kementerian Pengangkutan baru mendapat kelulusan prinsip dari Kementerian Kewangan pada Jumaat lalu untuk memberi bantuan subsidi diesel kepada pengusaha feri di pulau-pulau utama seluruh negara termasuk Langkawi mulai 1 Januari 2025.
"Saya amat kesal dengan tindakan terburu-buru pengusaha feri Langkawi membuat pengumuman menaikkan kadar tambang feri pada hari ini," katanya menerusi kenyataan dimuat naik di Facebooknya hari ini.
Loke turut memberi amaran kepada mana-mana pengusaha feri bahawa mereka tidak layak menerima subsidi diesel sekiranya meneruskan tindakan menaikkan kadar tambang khususnya kepada warga tempatan dan pelancong domestik.
"Adalah lebih baik semua pengusaha menarik balik pengumuman ini serta-merta dan berunding dengan pihak Kementerian Pengangkutan dalam masa terdekat," katanya.
Media sebelum ini melaporkan Ferry Line mengumumkan kenaikan harga tiket bagi perkhidmatan feri bagi setiap perjalanan ulang-alik dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis ke Langkawi akan dinaikkan di antara RM3 dan RM10.50 bermula 1 Januari ini.
Pengurus Operasi Ferry Line, Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid dilaporkan berkata, kenaikan tambang itu membabitkan kategori pelancong warga negara, pelancong bukan warga negara dan penduduk tempatan.