LANGKAWI: Harga tiket bagi perkhidmatan feri bagi setiap perjalanan ulang alik dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis ke Langkawi akan dinaikkan di antara RM3 dan RM10.50 bermula 1 Januari ini.
Pengurus Operasi Ferry Line, Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid, berkata kenaikan tambang itu membabitkan kategori pelancong warganegara, pelancong bukan warganegara dan penduduk tempatan.
"Bagi pelancong warganegara, perjalanan sehala dari Kuala Perlis ke Langkawi, harga asal RM21 untuk dewasa dinaikkan RM3 menjadi RM24, manakala kanak-kanak pula RM16 dinaikkan kadar sama menjadi RM19.
Berkuatkuasa 1 Januari 2025, kadar tambang baharu bagi perkhidmatan feri di bawah Langkawi Ferry Line Ventures Sdn Bhd.
"Kadar tambang laluan Kuala Kedah ke Langkawi, dari RM26.50 dinaikkan RM3.50 menjadi RM30 untuk dewasa, kanak-kanak pula RM20.50 dinaikkan dengan kadar sama menjadi RM24," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Norhafiz berkata, bagi pelancong dewasa bukan warganegara, perjalanan dari Kuala Perlis ke Langkawi RM27 dinaikkan RM8 menjadi RM35, manakala dari Kuala Kedah ke Langkawi RM34.50 dinaikkan RM10.50 menjadi RM45.
"Kadar tambang kanak-kanak untuk kategori sama bagi laluan Kuala Perlis ke Langkawi harga asal RM19.50 dinaikkan RM5.50 menjadi RM25, manakala perjalanan Kuala Kedah ke Langkawi RM25.50 naik RM6.50 menjadi RM32.
"Sementara untuk penduduk Langkawi, kadar tambang asal dewasa RM15 dinaikkan RM3 menjadi RM18 untuk perjalanan Kuala Perlis ke Langkawi, kanak-kanak RM10 naik RM3 menjadi RM13.
"Kategori sama bagi laluan Kuala Kedah ke Langkawi harga asal RM20 naik RM3.50 menjadi jadi RM23.50, manakala kanak-kanak dari RM14 naik RM3.50 jadi RM17.50," katanya.
Beliau berkata, tambang untuk warga emas dan orang kurang upaya masing-masing kekal RM13 dan RM17 bagi perjalanan Kuala Perlis ke Langkawi, manakala RM10 dan RM14 bagi Kuala Kedah ke Langkawi.
Harga tiket bagi perkhidmatan feri bagi setiap perjalanan ulang alik dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis ke Langkawi akan dinaikkan di antara RM3 dan RM10.50 bermula 1 Januari ini.. - Foto fail NSTP