Nibong Tebal: Institut Kemahiran Tinggi PERDA (PERDA-TECH) yang kini menjangkau usia 35 tahun penubuhannya terus memainkan peranan berkesan dalam membantu belia lepasan sekolah terutama di luar bandar mendapatkan latihan diiktiraf badan akademik, profesional dan pihak industri di negara ini.
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, buktinya hasil kaji selidik keboleh pasaran graduan mendapati, sebanyak 73 peratus graduan berjaya mendapat pekerjaan dalam bidang diceburi dengan sejumlah 18 peratus melanjutkan pengajian pada peringkat lebih tinggi pada tahun lalu, manakala sekitar sembilan peratus bekerja di luar bidang.
"Saya percaya bahawa pelbagai kejayaan dan pencapaian yang dicipta hari ini tidak diperoleh dalam sekelip mata sebaliknya ia adalah hasil keringat dan pengorbanan seluruh warga PERDA-TECH daripada generasi terdahulu sehinggalah sekarang.
"Tidak ketinggalan sokongan diterima khususnya pihak kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), syabas kepada seluruh warga PERDA-TECH yang bertungkus lumus menjulang nama PERDA-TECH agar setanding dengan institusi pendidikan lain," katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen PERDA-TECH ke-13 di sini.
Terdahulu seramai 399 graduan diraikan dalam majlis tersebut terdiri daripada 86 penerima diploma dan 313 lulusan peringkat sijil melibatkan 18 kursus yang menamatkan pengajian antara Julai 2020 hingga 2023.
Dalam hal ini, PERDA-TECH mempunyai peranan cukup besar bukan sahaja kepada negeri Pulau Pinang, tetapi juga pembangunan negara melalui penyediaan tenaga mahir dan separa mahir demi memenuhi keperluan industri seiring hasrat kerajaan untuk mengarus perdana dan memperluaskan akses Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET).
Hasil kejayaan melaksanakan program pengajian TVET yang menepati kehendak pasaran dan industri, institusi itu telah menerima peruntukan daripada KKDW untuk menawarkan tiga lagi program pengajian pada peringkat diploma secara berperingkat bermula tahun depan.
Selain itu, PERDA-TECH melalui Centre of Advance Skill (CoAS) akan melaksanakan program peningkatan kemahiran berimpak tinggi Latihan Kimpalan dan Pemotongan Dasar Air dengan kerjasama sebuah syarikat swasta mulai tahun depan.
Mengulas lanjut, Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Datuk Wira Ir Dr Shaik Hussein Mydin berkata, setakat ini PERDA-TECH mempunyai 18 program pengajian terdiri daripada enam program diploma, tujuh peringkat sijil dan lima Program Khas Sukses Asas Kemahiran Teknikal (SAKTI).
"Bermula tahun depan kita akan memperkenalkan Diploma Teknologi Fesyen Kreatif bermula tahun depan, Diploma Agroteknologi pada 2026 dan Diploma Kemahiran Malaysia Teknologi Elektrik pada 2027.
"Paling utama ialah kita akan mula program latihan kimpalan dasar air pada tahun depan yang mana pendapatan mereka yang bekerja dalam bidang ini adalah lumayan kerana dibayar mengikut jam dan ada boleh mencecah RM500 sehingga RM1,000 sehari.
"Kita sudah menandatangani memorandum persefahaman (Mou) dengan sebuah syarikat swasta melibatkan 60 pelajar terpilih yang akan mengikuti tiga siri latihan untuk melengkapkan latihan dalam program tersebut," katanya.
Beliau turut menyatakan komitmen PERDA-TECH untuk terus mengenal pasti program serta kursus berimpak tinggi sesuai permintaan pasaran yang dilihat dapat menyediakan laluan kerjaya jelas sekali gus menjamin pekerjaan selepas tamat pengajian.
"Memang ramai pelajar menunjukkan minat dan mereka ini mungkin tidak begitu cemerlang dalam pelajaran tetapi sebenarnya berbakat dan pandai dalam aspek teknikal ini memberi satu peluang luas untuk meneroka potensi diri.
"Jadi, kita juga sedang mencari dengan memfokuskan kursus-kursus khas untuk memastikan sebelum pelajar keluar habis belajar mereka sudah dapat peluang penempatan pekerjaan," katanya.
Mengimbas kejayaan PERDA-TECH pada 2024, institusi itu merangkul pingat emas masing-masing bagi Projek Sistem Automasi Bersepadu dan Kawalan Suhu Sistem Akuaponik Udang Kara dan Projek Kit Sedutan Sawah Padi selain meraih sebutir pingat perak dan gangsa dalam dua lagi projek inovasi yang dipertandingkan pada Konvensyen Serantau Tahunan Ke-10 Pelajar Kejuruteraan Pertanian dan Makanan Asia Tenggara 2024 (ARC2024).
PERDA-TECH yang julung kalinya bersaing dalam pertandingan inovasi anjuran Unversiti Sains Malaysia (USM) dikenali sebagai INNOZILLA 2024 berjaya meraih dua pingat emas menerusi Projek Inovasi Antara Muka Grafik Mesra Pengguna dan Pengesanan Ralat Identifikasi Reka Bentuk Motosikal serta pingat gangsa bagi Projek Inovasi Mesin Penghancur Daun Kering.
PERDA-TECH turut mengorak langkah membantu memperkasakan ummah dengan bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi Islam seperti pusat tahfiz, maahad dan madrasah bagi memberi peluang kepada pelajar aliran agama untuk memiliki kemahiran tambahan melalui program sijil kemahiran khas dikenali sebagai TVET Tahfiz
@ PERDA-TECH.
Dorongan keluarga dan kecekalan diri hasilkan kejayaan
Suka duka, pengalaman pahit getir mengharungi cabaran menimba ilmu dalam bidang kemahiran menjadi momen berharga buat penuntut yang menempa kejayaan dalam bidang masing-masing pada Majlis Konvokesyen Institut Kemahiran Tingga Perda (PERDA-TECH) di sini, baru-baru ini.
Graduan terbaik Sijil Teknologi Automotif, Ahmad Nasrin Haziq Naharuddin, 22, yang memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 tidak menyangka bidang yang pada asalnya tidak diminati kini menjadi punca rezeki apabila dia berjaya membuka bengkel yang beroperasi di Balik Pulau, di sini, sejak 2020.
"Hanya saya seorang dalam adik-beradik berkecimpung dalam bidang ini. Awalnya, rasa keberatan kerana tidak minat, namun saya tetap menyertai Program Khas Sukses Asas Kemahiran Teknikal (SAKTI) sehingga tamat dan kemudiannya menyambung peringkat sijil atas dorongan keluarga terutama bapa yang bekerja sebagai pemandu lori.
"Saya cabar diri buka bengkel selepas beberapa bulan belajar peringkat sijil berbekal kemahiran yang diperoleh dalam program SAKTI dengan menawarkan khidmat menyelenggara kenderaan supaya lebih cepat mahir insya-Allah semua jenis kereta saya boleh servis.
"Ketika itu, walau penat macam mana sekali pun saya akan terus sambung bekerja di bengkel selepas habis kelas, kadang-kadang malam pun ada pelanggan hantar kereta tetapi jika melibatkan masalah serius saya akan berterus-terang jika tidak mampu memperbaikinya.
"Alhamdulillah, selepas tamat belajar, saya berpeluang menjalani latihan industri di pusat servis Hyundai. Sekarang, saya bekerja sebagai mekanik di sebuah syarikat kejuruteraan di Bayan Lepas, tetapi pada masa sama masih meneruskan operasi bengkel pada masa senggang.
"Saya bercadang mahu mencari pengalaman kerja dua hingga tiga tahun sebelum memberi tumpuan 100 peratus kepada bengkel sendiri, sekali gus berazam mengembangkan perniagaan pada masa depan," katanya.
Penerima Anugerah Ibnu Firnaz yang juga graduan Diploma Teknologi Automatif Muhammad Muiz Zainal, 29, pula berasa bertuah belajar dalam bidang kemahiran secara percuma dan terus menyambar peluang pekerjaan selepas menamatkan pengajian dengan PNGK 3.92 di PERDA-TECH, dua tahun lalu.
"Laluan kerjaya dalam bidang ini bagi saya banyak. Habis saja belajar saya bekerja di kedai alat ganti kenderaan sebelum mendapat tawaran pekerjaan sebagai jurutera di Taman Teknologi Tinggi Kulim, jadi insya-Allah tidak menganggur jika tahu dan boleh mempraktikkan bidang kemahiran.
"Saya bersyukur tidak perlu berhutang kerana kos pengajian ditanggung kerajaan selain mendapat elaun bulanan dan kemudahan asrama secara percuma," katanya.