Alor Setar: Jasad pekerja kilang, Mohamad Fauzi Omar, 33, yang hilang selepas tenggelam di Sungai Tajar, Kampung Gelam, Jalan Datuk Kumbar, di sini semalam, akhirnya ditemui hari ini .
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba II Ahmad Naufal Abdullah berkata, jasad mangsa ditemui pada jam 2.50 petang tadi selepas melakukan pencarian di permukaan air menggunakan bot.
"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis pada jam 3.05 petang untuk tindakan lanjut," katanya di sini hari ini.
Ahmad Naufal berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa turut disertai Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Jitra dan Sungai Petani yang melakukan selaman di lokasi mangsa dilaporkan lemas.
Beliau berkata, selain itu, operasi turut disertai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Setar.
Sementara itu, rakan mangsa, Wan Saifulnizam Wan Ahmad Shukri, 36, berkata, dia bersyukur kerana jasad rakan baiknya itu akhirnya ditemui.
"Memang saya sedih sebab hilang rakan baik kerana kami akrab sejak kecil.
"Saya tidak tahu nak beritahu bagaimana sebab terlalu sedih apabila nampak jasadnya dibawa naik ke tebing," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, arwah rakannya hanya sempat menangkap tiga ikan lampam sebelum kejadian berlaku.
Tambahnya lagi, jenazah kini dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk proses bedah siasat dijangka akan dibawa pulang ke kampungnya di Kampung Tualang, Pokok Sena.
Wan Saifulnizam berkata arwah meninggalkan seorang isteri yang turut berada sepanjang operasi dilakukan di sungai berkenaan, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika sedang memukat ikan bersama dua rakannya di Sungai Tajar, Kampung Gelam, Jalan Datuk Kumbar, di sini, jam 5 petang semalam.