Alor Setar: Keputusan tidak menangguhkan jadual peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dibuat selepas mengambil kira tahap kesiapsiagaan semua pihak menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) ini sehingga Mac tahun depan.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, keputusan itu turut mengambil kira kebajikan calon SPM supaya mereka dapat menduduki peperiksaan itu dengan selamat.
Katanya, di peringkat kementerian, Op Payung akan terus diaktifkan bagi menangani semua isu berkaitan persekolahan, peperiksaan dan juga bencana banjir.
"Op Payung diaktifkan. Jadi ini bermakna persiapan kita ini bukan sahaja persiapan soal keselamatan, kebajikan tetapi secara keseluruhan termasuk peperiksaan SPM itu.
"Jadi kita sudah bersedia melaksanakannya dari hari pertama peperiksaan tempoh hari. Ujian (SPM) itu akan terus kita pantau dengan ketat," katanya ketika ditemui selepas meninjau sekolah terjejas banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gunong di sini hari ini
Beliau turut menegaskan kementerian termasuk semua jentera di peringkat agensi bersedia sekiranya gelombang kedua banjir dan seterusnya berlaku.
Calon SPM di seluruh negara akan menghadapi Ujian Amali Sains bermula esok sehingga 12 Disember ini sebelum ujian bertulis pada Januari depan.
MetMalaysia sebelum ini dilaporkan menjangkakan lima hingga tujuh gelombang hujan lebat akan membadai seluruh negara sepanjang MTL sehingga Mac tahun depan.