Edited by sfhzuraz at 8-12-2024 02:18 PM
Kebaya diiktiraf UNESCO: Peluang pertumbuhan pelancongan Pulau Pinang, kembang industri tekstil
08 Disember 2024 12:52pm
Pengiktirafan kebaya sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) baru-baru ini akan membuka peluang pertumbuhan pelancongan di Pulau Pinang, yang turut terkenal dengan kebaya nyonya. - Foto: Bernama, gambar kecil: Wong Hon Wai
GEORGE TOWN - Pengiktirafan kebaya sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) baru-baru ini akan membuka peluang pertumbuhan pelancongan di Pulau Pinang, yang turut terkenal dengan kebaya nyonya.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai berkata, kebaya termasuk kebaya nyonya, melambangkan budaya Peranakan yang sangat berkait rapat dengan identiti Pulau Pinang.
"Pengiktirafan oleh UNESCO baru-baru ini merupakan pencapaian yang sangat membanggakan bagi Malaysia. Ia bukan sahaja menyerlahkan warisan budaya kami, tetapi juga meletakkan Malaysia di pentas dunia.
"Ia membuka peluang untuk pertumbuhan pelancongan di Malaysia khususnya, di Pulau Pinang, sambil meraikan keharmonian masyarakat majmuk kami dan memastikan warisan berharga ini terus dihargai serta dipelihara untuk generasi akan datang," katanya kepada Bernama.
Pada 5 Disember lepas, Malaysia berjaya memperoleh pengiktirafan untuk elemen warisan kebudayaan tidak ketara, kebaya bersama-sama dengan Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam satu kenyataan dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat menerusi Jawatankuasa Antara Kerajaan untuk Pemeliharaan Warisan Budaya Tidak Ketara (IGC ICH) sesi ke-19 yang berlangsung di Asuncion, Paraguay dari 2 hingga 7 Disember.
Kebaya: ‘Knowledge, Skills, Traditions and Practices’ di bawah kategori ‘Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity’ merupakan pencalonan secara bersama dengan empat negara berkenaan.
Mengulas lanjut, Hon Wai berkata, di Pulau Pinang, warisan kebaya bukan sekadar pakaian, malah ia melambangkan sejarah, seni dan perpaduan harmoni pelbagai budaya. Justeru kejayaan ini menunjukkan komitmen pihaknya untuk memelihara dan mempromosikan warisan budaya sambil mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Bagi Pulau Pinang, kami akan terus berusaha memastikan warisan kebaya terus hidup dan dihargai di peringkat tempatan dan antarabangsa," katanya.
Sementara itu, seorang pereka fesyen kebaya, Dr Kenny Loh berkata, pengiktirafan kebaya sebagai elemen warisan kebudayaan UNESCO, akan dapat mengembangkan lagi industri tekstil terutama kebaya di persada dunia.
Beliau yang terlibat dalam industri fesyen kebaya sejak tujuh tahun lalu berkata, pengiktirafan tersebut juga akan membuka peluang kepada pereka fesyen, terutama dalam bidang kebaya, untuk terus memperkenalkan fesyen kebaya di peringkat antarabangsa sekali gus mempromosikan kebudayaan negara menerusi kebaya.
"Ini sudah pasti pengiktirafan yang akan memberi kesan positif dalam bidang fesyen kebaya kerana ia secara tidak langsung dapat memperkenalkan pelbagai jenis kebaya yang kita ada, seperti kebaya songket dan kebaya nyonya, ke peringkat antarabangsa.
"Ia juga peluang kepada pereka-pereka fesyen untuk mengetengahkan kebaya kita dan saya percaya kebaya akan diterima oleh luar negara kerana keunikan serta kecantikkannya. Malah, ini masanya untuk kita terus promosikannya kerana telah mendapat pengiktirafan UNESCO," katanya. - Bernama
https://www.sinarharian.com.my/article/701098/edisi/utara/kebaya-diiktiraf-unesco-peluang-pertumbuhan-pelancongan-pulau-pinang-kembang-industri-tekstil
|