Edited by sfhzuraz at 8-12-2024 01:19 AM
Banjir: Pesawah diminta daftar STTP untuk dapatkan pampasan
ROSLINDA HASHIM
07 Disember 2024 07:38pm
Amir Hamzah (dua dari kiri) meninjau kawasan padi yang ditenggelami banjir di Kuala Sungai Baru pada Sabtu.
ALOR SETAR - Pesawah di seluruh negara yang mengalami kerosakan tanaman padi diminta mendaftar dengan Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) agar dapat membantu mereka menangani kesan akibat bencana.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, skim berkenaan diselia Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Agrobank merupakan persediaan kepada pesawah yang berdepan pelbagai risiko bencana alam termasuk banjir yang menjejaskan tanaman padi.
Menurutnya, STTP disediakan secara percuma dan merupakan antara komitmen kerajaan membantu dan melindungi pesawah daripada risiko kerugian akibat bencana alam seperti banjir, kemarau, serangan penyakit serta makhluk perosak yang mengancam tanaman padi.
“Menerusi belanjawan tahun ini, kerajaan menyediakan RM50 juta untuk membeli premium bagi pihak pesawah.
“Mungkin masih ramai belum daftar skim tersebut, saya mohon pesawah segera berbuat demikian kerana dengan adanya skim ini, apa-apa berlaku mereka boleh buat tuntutan kepada takaful insurans yang ada,” katanya ketika meninjau kerosakan infrastruktur pengairan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan tanaman padi di Kuala Sungai Baru pada Sabtu.
Amir Hamzah berkata, kadar perlindungan kerosakan tanaman padi diberikan sehingga RM3,000 bagi setiap hektar semusim mengikut fasa penanaman padi tersebut.
“Dari segi skim takaful mungkin ada kelonggaran yang dibenarkan tidak ada had berapa hektar, yang penting kerajaan sudah membayar premium jadi pesawah hanya perlu daftar untuk terima pampasan.
“Tempoh pembayaran bergantung kepada sistem pemprosesan takaful. Kita minta daftar dahulu untuk kita uruskan pembayaran,” ujarnya.
Menurutnya lagi, pesawah diminta memanfaatkan kemudahan perlindungan takaful tersebut bagi membantu mereka meneruskan menanam padi seterusnya menyumbang kepada kestabilan rantaian bekalan makanan negara.
“Saya percaya ia akan membantu mereka yang terkesan. Selain skim tersebut, Tabung Amanah Bencana pun ada, kita harap mereka akan terus daftar jika terkesan akibat banjir,” katanya.
Amir Hamzah memaklumkan, sebanyak RM86.4 juta diperuntukkan untuk membantu petani dan pesawah yang terkesan akibat banjir.
“Daripada jumlah ini, sebanyak RM11.4 juta melalui Tabung Bencana Pertanian Padi (TBTP), RM50 juta melalui STTP dan RM25 juta menerusi Tabung Bencana Pertanian bagi kegunaan selain tanaman padi,” katanya.
Menurutnya lagi, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM289.3 juta untuk bantuan banjir merangkumi RM226.3 juta untuk Bantuan Wang Ihsan bawah NADMA khusus untuk banjir ketika Monsun Timur Laut.
“RM 63 juta melalui ICU, Jabatan Perdana Menteri dan syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat swasta turut menyumbang sebanyak RM49.5 juta yang diagihkan oleh agensi-agensi Kerajaan Persekutuan iaitu RM35.8 juta melalui Tabung Bantuan Bencana Negara (TBBN) dan RM13.7 juta melalui GLC Demi Rakyat dan Negara (GDRN),” jelasnya.
Amir Hamzah memaklumkan, secara keseluruhan kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM425.2 juta untuk meringankan beban dihadapi mangsa banjir
https://www.sinarharian.com.my/article/701011/berita/nasional/banjir-pesawah-diminta-daftar-sttp-untuk-dapatkan-pampasan
|