Malaysia ada potensi besar kembangkan perdagangan halal - PM Anwar
Oleh Nur Izzati Mohamad - Disember 7, 2024 @ 5:54pm[email protected]
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat reruai JHEAIPP ketika merasmikan Ekspo Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIHEX) 2024. - NSTP/DANIAL SAAD
BUKIT MERTAJAM: Malaysia mempunyai potensi besar dalam mengembangkan perdagangan industri halal yang mempunyai nilai dagangan cukup besar melebihi AS$1 trilion (RM4.5 trilion) berdasarkan kekuatan dan pengiktirafan pensijilan dimiliki.
Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pensijilan halal Malaysia turut dikenali banyak negara Muslim dan bukan Muslim sehingga mereka mahu menjalinkan kerjasama.
"Saya baru-baru ini (dalam lawatan kerja) ke negara Islam dan bukan Islam antaranya Mesir, Arab Saudi, China, Vietnam dan Laos... semua minta nak kerjasama dengan Malaysia (dari segi pelaburan halal).
"Ini kerana Malaysia mempunyai nama dan kekuatan serta pengiktirafan dari segi pensijilan halal," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Ekspo Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIHEX) ke-13, di sini, hari ini.
PIHEX 2024 yang berlangsung empat hari bermula 5 Disember lalu membabitkan 200 pempamer terdiri usahawan tempatan dan luar negara, jabatan serta agensi kerajaan dan institusi perbankan.
Ia antara komitmen kerajaan Pulau Pinang bagi merakyatkan industri halal di negeri itu.
Mengulas lanjut, Anwar berkata kerajaan amat memandang serius aspek memperkasakan industri halal supaya dapat menjadi pusat kegiatan ekonomi termasuk kewangan Islam mengikut matlamat 'maqasid syariah'.
"Bila bercakap soal halal ia tidak hanya terhad kepada penyembelihan daging, malah ia turut berkaitan dengan sektor pembuatan, kosmetik dan sebagainya. Sama juga dengan bank tidak mempunyai unsur riba dan menepati syariah.
"Dalam hal ini, JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) perlu bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan lain termasuk Halal Development Corporation, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
"Ini supaya pengertian berkenaan industri (halal) lebih lengkap dan mantap khususnya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana," katanya.
Jelas Anwar lagi, industri halal mempunyai faktor tarikan di peringkat antarabangsa kerana pengertiannya sudah mencapai tahap global dan berupaya menjana kegiatan ekonomi.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/12/1334047/malaysia-ada-potensi-besar-kembangkan-perdagangan-halal-pm-anwar
|