Edited by telracs at 17-12-2024 01:22 AM
Bahasa Melayu dan juga Sastera,
Mudah difahami jika tersurat;
Baha Zain sasterawan negara,
Hasil penanya halus tersirat.
Pesan orang tua-tua
Yang tak telus mata
Yang menampi padi, antah dan sekam
Yang mengail dilubuk dalam
Terkilat ikan di air
Tahu jantan betinanya
Katanya :
Kalau guru kencing berdiri
Murid kencing berlari
Kalau guru berak di tangga
Murid berak atas kepala
Jadi berwaspadalah
Tentang petah dan kata
Cakap malam dengar-dengar
Cakap siang pandang-pandang
Kalau bercinta rindu-rinduan
Kalau berahi menahan diri
Jangan gelojoh bila bercumbu
Sebelum duduk bersila dahulu
Selepas makan basuhlah tangan
Demikianlah bahasa dahulu kala :
Benci ~ tak nampak jijik
Tepat ~ tak terus terang
Tajam ~ tak terasa luka
Geram ~ tak nampak berang
Ah, alangkah halusnya makna!
Tersisip tersemat di pantun lama
Terang bulan di angkasa,
Bayangnya jatuh ke tanah rata;
Mana cantik rupa dan kata,
Cantik lagi budi bahasa.
BAHA ZAIN
Dewan Bahasa & Pustaka
2014
|