Hujan lebat Kelantan, Terengganu esok, lusa. Luruan monsun dijangka 8-14 Disember ini - METMalaysia
Oleh Wartawan BH - Disember 2, 2024 @ 3:15pm
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek melawat calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas banjir di Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Kiambang di Pasir Mas, hari ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
KUALA LUMPUR: METMalaysia menjangkakan luruan monsun akan berlaku dalam tempoh bermula 8 hingga 14 Disember 2024.
"Keadaan ini berpotensi menyebabkan hujan berterusan di timur Semenanjung dalam tempoh berkenaan," kata METMalaysia dalam kenyataan.
Selain itu, berdasarkan analisis model-model cuaca terkini, penumpuan angin dijangka berlaku di Kelantan dan Terengganu bermula pada petang 3 Disember hingga awal pagi, 4 Disember 2024.
Keadaan ini berpotensi menghasilkan ribut petir berserta hujan lebat dalam tempoh tersebut.
Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.
Luruan Monsun berpotensi menyebabkan hujan berterusan di timur Semenanjung dalam tempoh berkenaan
Lima negeri hujan lebat petang ini
Dalam kenyataan berasingan, METMalaysia berkata ribut petir, hujan lebat, dan angin kencang dijangka melanda lima negeri sehingga jam 3 petang hari ini.
Ribut petir dijangka berlaku di beberapa kawasan di Pahang, Selangor, Putrajaya, Negeri Sembilan, dan Johor.
Pemandangan dari udara menunjukkan situasi banjir di Taman Desa Tanjung Damai Kuala Nerus, Terengganu. - foto BERNAMA
Di Pahang, kawasan yang terlibat adalah Pekan dan Rompin manakala di Selangor, ribut petir dijangka melanda Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Petaling, Kuala Langat, dan Sepang.
Negeri Sembilan turut terjejas di kawasan Seremban, Port Dickson, dan Rembau.
Di Johor, kawasan yang diramalkan mengalami ribut petir adalah Segamat dan Mersing.
Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan mengelakkan aktiviti luar sehingga keadaan cuaca kembali stabil.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/12/1331656/hujan-lebat-kelantan-terengganu-esok-lusa-luruan-monsun-dijangka-8
|