Edited by maklukpenggoda at 2-12-2024 04:07 AM
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meminta pemimpin BERSATU supaya tidak terus bermain politik dalam keadaan ramai rakyat ditimpa musibah susulan banjir buruk di beberapa negeri.
Beliau berkata, pemimpin sepatutnya menunjukkan teladan yang baik dengan memfokuskan bantuan kepada rakyat yang terjejas.
"Daripada sibuk berhimpun membicarakan dan mendesak supaya adakan pilihan raya sedangkan ada tiga tahun lagi berbaki, lebih baik semua balik ke kawasan masing-masing, bantu rakyat Kelantan, Terengganu, Kedah dan negeri-negeri lain yang sedang ditimpa musibah banjir agak teruk.
"Janganlah jadi pemimpin yang 'hilang rasa' sehinggakan rakyat yang sedang bergelumang dengan musibah banjir yang dahsyat hingga memusnahkan harta benda, terpaksa berpindah dengan keaadan tidak selesa, semacam tidak diberikan keutamaan," katanya, hari ini.
Mengulas kritikan pemimpin tertentu daripada BERSATU terhadap kerajaan pada perhimpunan agung tahunan parti itu yang berlangsung di Shah Alam, Asyraf Wajdi berkata, sepatutnya dalam situasi sekarang, semua parti politik termasuk pembangkang bersatu dengan kerajaan membantu rakyat yang berdepan ujian banjir.
"Ayuh, bergandingan tangan dengan kerajaan tanpa pedulikan warna parti dan ideologi politik, untuk kita fokuskan bantu rakyat yang sedang menderita dek musibah banjir besar ini," katanya.
BH
|