Lelaki ditahan keluar kata-kata kesat kepada anggota polis
MOHD ISKANDAR OTHMAN
30 November 2024 12:52pm
Tangkap layar klip video memaparkan seorang lelaki tidak sedarkan diri dalam sebuah kereta di tepi Jalan Nordin sehingga memaksa pasukan bomba dan penyelamat datang ke lokasi untuk membuka pintu kereta terbabit.
GEORGE TOWN - Polis menahan seorang pemandu kereta selepas enggan memberikan kerjasama dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota polis yang bertugas.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, sebelum itu polis menerima laporan daripada orang awam yang menemui lelaki berkenaan tidak sedarkan diri dalam kereta di Lebuh Nordin di sini kira-kira jam 10.30 malam pada Jumaat.
"Namun apabila anggota polis sampai ke lokasi kejadian dan cuba memeriksa lelaki terbabit, dia enggan memberikan kerjasama lalu mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota yang bertugas.
"Pemandu kereta terbabit telah pun ditahan dan akan disiasat mengikut 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Abdul Rozak berkata, pihak polis sedang melengkapkan kertas siasatan dalam masa terdekat dan akan merujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes ini hingga boleh menjejaskan siasatan polis.
Terdahulu, tular beberapa klip video memaparkan kejadian seorang lelaki yang ditemui tidak sedarkan diri dalam sebuah kereta di tepi Jalan Nordin di sini.
Disebabkan keadaan yang berbahaya itu, orang ramai cuba mengejutkan lelaki berkenaan dengan mengetuk cermin kereta namun tiada tindak balas hingga memaksa pasukan bomba dan penyelamat datang ke lokasi untuk membuka pintu kereta terbabit.
https://www.sinarharian.com.my/article/699586/berita/semasa/lelaki-ditahan-keluar-kata-kata-kesat-kepada-anggota-polis
|