Edited by sfhzuraz at 29-11-2024 03:00 AM
Bah besar 14 tahun mungkin berulang
Zuliaty Zulkiffli[email protected]
Kuala Nerang: Penduduk di daerah ini menganggap kejadian banjir yang berlaku kali ini sama seperti 14 tahun lalu yang ketika itu menyebabkan Pekan Kuala Nerang lumpuh.
Tinjauan di daerah ini mendapati Jalan Semeliang, Jalan Kampung Tanjung Kiri, Kampung Tanjung Kanan, Kampung Bendang Raja, Jalan Kuala Nerang ke Naka, Simpang Tiga Bukit Gedung, Jalan Sungai Kap menghala ke Tanjung Piring untuk ke Pekan Kuala Nerang terputus.
Ismail Zain, 58, berkata, dia terkejut apabila melihat laluan dari Pekan Kuala Nerang ke Pedu itu dinaiki air hari ini disebabkan limpahan Sungai Padang Terap.
Katanya, banjir yang berlaku kali ini agak buruk, yang mana walaupun kawasan itu sudah dinaiki air pada September dan Oktober lalu tetapi tidak melimpah sehingga melimpah di atas jalan raya.
"Semalam saya datang ke sini untuk melihat keadaan air sungai dan didapati ia masih di tahap biasa namun hari ini saya terkejut apabila melihat titi Sungai Padang Terap ditenggelami air manakala laluan ke Pedu juga terputus.
"Kejadian kali ini yang terburuk sama seperti yang pernah berlaku pada tahun 2010 lalu yang mana kawasan berhampiran sungai ini tenggelam," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dia yang juga pesara kerajaan berkata, air sungai naik dengan cepat dan deras mengakibatkan dia tidak dapat membawa keluar ibunya yang berada di Kampung Kuala Janing berikutan jalan dinaiki air setinggi 0.6 meter.
ANGGOTA BBP Kuala Nerang membantu mengangkat pesakit wanita yang lumpuh akibat penyakit saraf ke tempat selamat selepas rumahnya di Kampung Tanjung dinaiki air. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
Seorang lagi penduduk, Kamal Shukri, 39, berkata, dua anaknya yang belajar di Sekolah Menengah Agama Daril Iktisam (SMADI) tidak dapat pulang ke rumahnya di Bukit Tembaga, hari ini berikutan jalan Kuala Nerang ke Padang Sanai dinaiki air hampir satu meter.
Katanya, dia sepatutnya pergi menjemput anaknya yang berusia 15 dan 17 tahun tetapi tidak dapat berbuat demikian apabila diarahkan untuk berpatah balik kerana laluan terbabit tidak selamat untuk dilalui.
"Anak-anak sepatutnya balik hari ini sebab esok dan lusa mereka cuti tetapi tak dapat balik kerana banjir kali ini agak teruk sehingga terputus laluan jalan.
Bekas pesara tentera ini berkata dia bimbang hujan berterusan sejak tiga hari lalu mengulangi kejadian banjir besar tahun 2010 yang mengakibatkan seluruh daerah Padang Terap digenangi air.
Sementara itu, seorang lagi mangsa Norsiah Saad, 50, yang mengalami lumpuh akibat penyakit saraf dibawa keluar dengan bantuan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang untuk dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.
Katanya, rumahnya yang terletak di Kampung Tanjung dinaiki air sejak jam 6 pagi mengakibatkan dia serta tiga anaknya terperangkap dan tidak dapat keluar.
"Terima kasih kepada semua yang membantu saya yang sudah enam bulan terlantar sakit saraf dan perlu berulang ke hospital dua bulan sekali.
"Nak pergi ke hospital tak boleh sebab tiada kenderaan dan seluruh badan rasa sakit serta kebas.
"Air juga laju, dari jam 6 petang sampai 8 pagi air sudah masuk dalam rumah... Saya bersyukur apabila pihak Bomba datang menyelamatkan saya," katanya.
Operasi menyelamat mangsa itu turut disertai Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Awang Hidzel Awang Bujang dan Ketua BBP Kuala Nerang, Penolong Penguasa Bomba Aminuddin Mad Khozali.
Disiarkan pada: November 28, 2024 @ 6:16pm https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/11/1160258/bah-besar-14-tahun-mungkin-berulang
|