Laluan Dewan Wawasan ke Plaza Tol Jitra ditutup akibat banjir kilat
NURUL HIDAYAH HAMID
28 November 2024 11:37pm
Keadaan jalan di Lebuhraya Utara-Selatan yang dilanda banjir kilat pada Khamis. Foto: Facebook PLUS Malaysia
JITRA - Trafik di laluan Dewan Wawasan menuju Plaza Tol Jitra di Lebuhraya Utara-Selatan mengalami gangguan akibat banjir kilat pada Khamis.
Pengesahan tersebut dibuat pengendali lebuh raya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menerusi Facebook yang turut memaklumkan kejadian banjir kilat berlaku kira-kira jam 2.30 petang di kawasan tersebut.
"Sehubungan itu, kenderaan dari Dewan Wawasan yang menghala ke Plaza Tol Jitra telah dilencongkan keluar dari lebuh raya menerusi Persimpangan Jitra Utara dan seterusnya menggunakan laluan alternatif menerusi Jalan Persekutuan Jitra ke Bandar Darul Aman.
"Pengguna boleh memasuki semula lebuh raya menerusi Persimpangan Jitra Selatan atau Persimpangan Kepala Batas untuk meneruskan perjalanan ke selatan/Hutan Kampung/Alor Setar Utara/Alor Setar Selatan," menurut hantaran itu.
Dalam perkembangan sama, PLUS melaporkan trafik sedang bergerak perlahan di laluan tersebut.
"Dapatkan maklumat terkini perkembangan trafik di laluan tersebut menerusi aplikasi X (@PLUSTrafik), Facebook (PLUS Malaysia), atau aplikasi PLUS,"tambah hantaran tersebut.
PLUS turut menasihatkan pengguna lebuh raya untuk memandu dengan berhati-hati.
Menurutnya, pengguna diminta menghubungi PLUS di 1800 88 0000, tekan butang SOS di aplikasi PLUS atau menerusi pembantu maya - PUTRI, sekiranya berlaku kecemasan dan ingin mendapatkan bantuan.
https://www.sinarharian.com.my/article/699302/berita/semasa/laluan-dewan-wawasan-ke-plaza-tol-jitra-ditutup-akibat-banjir-kilat
|