Pengawal keselamatan dipenjara setahun, denda RM4,500 kerana curi wang majikan
Zuliaty Zulkiffli[email protected]
Muhd Fairul Fizree dijatuhi hukuman penjara setahun dan didenda RM4,500 mengaku bersalah atas tuduhan mencuri wang tunai berjumlah RM200,000 pada 19 November lalu. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Alor Setar: Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM4,500 terhadap pengawal keselamatan yang mengaku bersalah atas tuduhan mencuri wang tunai RM200,000, minggu lalu.
Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor mengarahkan hukuman penjara tambahan setahun ke atas tertuduh, Muhd Fairul Fizree Abdul Hamid, 38, jika dia gagal membayar denda.
Semalam, tertuduh mengaku bersalah di mahkamah sama atas pertuduhan melakukan jenayah mencuri wang berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Muhd Fairul dan dua rakan sekerja secara bersama didakwa mencuri wang tunai RM200,000 yang dalam milikan majikan mereka di simpang lampu isyarat Taman Kristal, di sini, pada 10.34 pagi, 19 November lalu.
Bagaimanapun, dua tertuduh lain iaitu Mohamad Zul Hilmi Ahmad, 37, dan Muhammad Fadzli Yaakub, 28, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Timbalan Pendakwa Raya R Jayasri memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepada orang ramai.
Manakala, peguam Mohd Khairul Afizuddin Ramli yang mewakili Muhd Fairul memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana anak guamnya perlu menjaga kakaknya yang menghidap penyakit buah pinggang.
Disiarkan pada: November 26, 2024 @ 1:36pm https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/11/1159304/pengawal-keselamatan-dipenjara-setahun-denda-rm4500-kerana-curi-wang
|