CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 13932|Reply: 0

[Pulau Pinang] Budak Melayu berotak geliga

[Copy link]
Post time 26-11-2024 09:02 AM | Show all posts |Read mode
Budak Melayu berotak geliga

Redzuan Muharam[email protected]




AHMAD Khidir (dua dari kiri) ketika menerima anugerah pada majlis graduasi.





Georgetown: Usaha gigih pasti membuahkan hasil apabila Ahmad Khidir Ahmad Nazri berjaya membuktikan kemampuan dirinya berikutan menerima lima anugerah dalam majlis graduasi Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Heng Ee di sini, pada Sabtu lalu.

Majlis itu menyaksikan Ahmad Khidir, 17, membawa pulang Anugerah Tokoh Pelajar, Timbalan Ketua Pengawas, tempat pertama dalam kelas, tempat pertama dalam tingkatan aliran sastera serta markah tertinggi Bahasa Melayu dan juga Pendidikan Islam.

Kejayaan itu menjadikan Ahmad Khidir sebagai salah seorang daripada tiga pelajar Melayu di sekolah berkenaan berpeluang menaiki pentas bagi menerima anugerah kerana kecemerlangan dalam akademik.

Menurut Ahmad Khidir, dia amat bersyukur dengan penghargaan diterima daripada pihak sekolah dan mengakui bukan mudah untuk meraih kejayaan itu.

"Memang susah nak berada di tahap ini kerana pelajar Melayu di sekolah ini cuma 30 orang saja dan kami perlu bersaing dengan rakan lain.

"Tapi, saya bersyukur kerana mendapat 7A dalam peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi subjek BM (A+) BI (A), Pendidikan Islam (A+) Sejarah (A-) Matematik (A-) Sains (A) dan Ekonomi (A), manakala B untuk Akaun serta Mandarin.

"Sasaran saya tentunya 9A+ dalam SPM nanti," katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Bercerita lanjut, Ahmad Khidir berkata, dia tidak mempunyai asas dalam bahasa Mandarin namun ibunya, Fudla Yusof, 55, bersungguh-sungguh apabila menghantarnya ke tadika dan sekolah aliran Cina kerana mahu kelainan berbanding adik-beradik lain.

"Saya anak bongsu daripada enam beradik dan satu-satunya yang dihantar ke sekolah aliran Cina.

"Susah awalnya sebab tak ada asas dan dulu malu nak bercakap dengan jiran dalam bahasa Mandarin, tapi lama-kelamaan bertambah yakin.

"Alhamdulillah, saya dapat nombor satu dalam kelas ketika tahun empat. Kemudian cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) sampai dapat masuk sekolah sekarang yang tersenarai antara sekolah terkemuka dan pernah lima kali juga dapat tempat pertama dalam kelas sewaktu di tingkatan tiga, empat serta lima," katanya.

Berkongsi tip pembelajarannya, Ahmad Khidir berkata, dia menyediakan jadual belajar dengan memperuntukkan mengulangkaji dua subjek dalam sehari.

"Tempoh ulangkaji bagi satu subjek adalah dua jam 30 minit dengan 15 minit waktu rehat bagi setiap sesi.

"Saya cuba fleksibelkan masa kerana tak nak tertekan dan ada juga belajar secara berkumpulan, yang mana saya ajar mereka (pelajar Cina) Bahasa Melayu dengan Sejarah.

"Manakala, rakan ajar saya bahasa Mandarin, jadi kami saling membantu dengan belajar serta bersaing secara sihat tanpa ada isu pun," katanya yang turut aktif dalam kokurikulum dengan menyandang jawatan Naib Pengerusi Kadet Polis, Kelab Pencegahan Jenayah, Lembaga Pengawas dan kumpulan koir selain aktif olahraga.

Menurut Ahmad Khidir, kejayaan baru-baru ini bukan kerana usahanya saja, tetapi berkat sokongan keluarga khususnya ibu bapa, pentadbir sekolah, guru dan rakan yang banyak membantunya.

"Terima kasih kepada mama yang menjaga, papa (Ahmad Nazri Noordin, 55) yang tak jemu tanya khabar saya, adik-beradik kerana kuatkan semangat, juga rakan sebab sentiasa teman sewaktu belajar.

"Tak ketinggalan juga buat pengetua, penolong kanan, guru dan ustaz yang mendidik dari sekolah rendah, menengah selain netizen kerana bagi ucapan tahniah juga semangat selepas video dimuat naik kakak (Siti Fatimah Azzahra, 22) mendapat tontonan ramai di TikTok.

"Terharu rasanya kerana ramai yang mendoakan dan saya doakan juga kejayaan semua terutama calon SPM lain. Jangan putus asa, sentiasa mencuba, ingat mereka yang bagi sokongan dan terus kuat," katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2024 @ 7:15am
https://www.hmetro.com.my/utama/2024/11/1159200/budak-melayu-berotak-geliga





Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

14-1-2025 02:48 PM GMT+8 , Processed in 0.041242 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list