Pasangan kekasih tekong darat bawa masuk warga asing
Zuliaty Zulkiffli[email protected]
KENDERAAN digunakan pasangan kekasih untuk membawa masuk warga Myanmar dari sempadan Bukit Kayu Hitam. FOTO Ihsan Polis.
Jitra: Sepasang kekasih warga tempatan ditahan polis ketika cuba menyeludup lapan warga asing menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 5.2 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Bukit Kayu Hitam, hari ini.
Pasangan itu yang berusia 20-an dikatakan sanggup menjadi tekong darat demi mendapatkan upah lumayan sekiranya berjaya membawa masuk pendatang asing tanpa izin.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, kejadian disedari pasukan daripada Balai Polis Bukit Kayu Hitam yang melakukan tugas pencegahan penyeludupan (Ops Pintas) pada 5.20 pagi.
Katanya, pasukan mengekori MPV itu apabila melihatnya dalam keadaan mencurigakan sebelum menahannya di lokasi kejadian.
"Pemeriksaan kemudian menemui pemandu lelaki dan wanita tempatan di sebelahnya, selain empat lelaki dan empat wanita dipercayai warga Myanmar di tempat duduk belakang," katanya dalam kenyataan.
Mohd Redzuan berkata, semua warga asing berusia 20 hingga 42 tahun itu tiada dokumen perjalanan sah, manakala pasangan kekasih terbabit bertindak sebagai tekong darat yang mendakwa menerima upah daripada seorang lelaki Myanmar lain.
"Mereka dibayar RM200 bagi setiap warga asing yang dibawa dari sempadan Bukit Kayu Hitam ke Sungai Petani," katanya.
Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Disiarkan pada: November 24, 2024 @ 6:28pm https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/11/1158715/pasangan-kekasih-tekong-darat-bawa-masuk-warga-asing
|