PM akan bertemu 'chaebol', tarik lebih banyak FDI dari Korea Selatan
Mohd Zamruni pada sidang media lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Korea Selatan pada 24 hingga 26 Nov 2024 di sini, hari ini. - Foto BERNAMA
SEOUL: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengadakan siri mesyuarat dengan 'chaebol' bagi menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia. Istilah 'chaebol' merujuk kepada tokoh korporat atau ahli perniagaan yang mewakili konglomerat atau syarikat gergasi di Korea Selatan. Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan, Datuk Mohd Zamruni Khalid, berkata pertemuan Perdana Menteri dengan 'chaebol' adalah untuk memastikan lebih banyak pelaburan asing dapat dibawa masuk ke Malaysia. "Siri pertemuan ini adalah usaha untuk menarik lebih banyak FDI.
Selain itu, ia juga adalah langkah untuk kukuhkan hubungan perdagangan antara Malaysia dan Korea Selatan," katanya pada pertemuan dengan wakil media Malaysia di sini, hari ini, sempena lawatan kali pertama Perdana Menteri ke Korea Selatan, atas jemputan Presiden Yoon Suk Yeol. Perdana Menteri dijangka tiba sekitar jam 10 malam nanti (waktu tempatan) dan akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Yoon di Pejabat Presiden di Yongsan pada 25 November. Menurut Mohd Zamruni, konglomerat yang terbabit dalam pertemuan itu nanti bukan jenama asing bagi pasaran Malaysia kerana sudah bertapak melalui pelbagai operasi perniagaan. "Kebanyakan syarikat gergasi ini sudah bertapak di Malaysia dan mereka mempunyai banyak cawangan (di Malaysia). "Katakanlah mereka melabur di Malaysia melalui cawangan (operasi) barangan elektronik, maka kita akan cuba tarik mereka melabur dalam bidang lain seperti kenderaan elektrik," katanya.
Bagi perdagangan tahun ini, sehingga Oktober lalu, jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencecah RM91.1 bilion dengan jumlah eksport Malaysia ke Korea Selatan sebanyak RM43.95 bilion, manakala import Malaysia dari republik berkenaan mencapai RM47.1 bilion. Katanya, Korea Selatan adalah rakan dagang ketujuh terbesar bagi Malaysia manakala Malaysia adalah rakan dagang ke-11 terbesar bagi republik ini dengan jumlah pelaburan RM61 bilion melalui 616 projek.
Beliau berkata, selain pertemuan dengan 'chaebol', Perdana Menteri juga akan memberikan ucapan dalam Forum Perniagaan yang dijangka dihadiri lebih 180 syarikat di Korea Selatan. Dalam pada itu, Mohd Zamruni berkata, satu sesi turut diatur untuk Perdana Menteri bertemu Kesatuan Masyarakat Islam Korea (KMF), sebuah badan rasmi yang diiktiraf sebagai badan induk untuk mewakili masyarakat Islam di Korea Selatan. Katanya, selain menyantuni KMF, peluang itu juga turut digunakan untuk menyumbang naskhah Al-Quran dengan terjemahan bahasa Inggeris dan bahasa Korea untuk kegunaan KMF.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/11/1328169/pm-akan-bertemu-chaebol-tarik-lebih-banyak-fdi-dari-korea-selatan
|