Empat didakwa culik 2 warga asing
Nur Izzati Mohamad[email protected]
EMPAT lelaki termasuk dua warga Myanmar dihadapkan di Mahkamah Majistret Buterworth atas pertuduhan menculik dua lelaki warga asing. FOTO Nur Izzati Mohamad.
Butterworth: Empat lelaki termasuk dua warga Myanmar dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan menculik dua lelaki warga asing pada 13 November lalu.
Tertuduh, Habizur Rahman Abul Jamil, 27 dan Abdullah Abu Jamil, 38 mengaku bersalah, namun warga tempatan Hadzri Abd Hamid,40 dan Azri Shahrizal Abd Rahman, 41 mengaku tidak bersalah ketika kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Penolong Pendaftar Mohamad Azrul Muhd Sobri.
Mengikut pertuduhan, keempat-empat mereka didakwa secara bersama-sama menculik dua lelaki warga asing dengan niat supaya mereka dikurung secara rahsia dan salah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tapak pembinaan sebuah stesen minyak di Telok Ayer Tawar dalam daerah Seberang Perai Utara, kira-kira jam 8.30 malam pada 13 November lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Airina Syazreen Zainurin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak menawarkan jaminan terhadap dua tertuduh warga Myanmar manakala dua tertuduh tempatan dibenarkan ikat jamin masing-masing RM5,000 dengan seorang penjamin.
Kes akan disebut semula pada 3 Disember depan untuk kehadiran jurubahasa Myanmar.
Disiarkan pada: November 22, 2024 @ 2:46pm https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/11/1157911/empat-didakwa-culik-2-warga-asing
|