Simpan lebih 15 tan minyak masak peket bersubsidi, pemilik perniagaan dan pekerja ditahan
Nur Izzati Mohamad[email protected]
JEGAN memeriksa minyak masak peket bersubsidi yang dirampas. FOTO Nur Izzati Mohamad
Bukit Mertajam: Pemilik perniagaan syarikat borong dan dua pekerjanya ditahan selepas penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu dua stor premis yang menyimpan lebih 15 tan minyak masak peket bersubsidi melebihi had dibenarkan.
Berdasarkan maklumat awam dan hasil risikan sejak sebulan lalu, seramai 13 penguat kuasa KPDN negeri menyerbu premis berkenaan di Taman Impian Ria, Alma, di sini, kira-kira 2 petang tadi.
Pengarah KPDN negeri S Jegan berkata, pemeriksaan mendapati syarikat berkenaan hanya memiliki lesen untuk menyimpan masing-masing 5,000 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi, gula serta tepung gandum.
"Namun, pemeriksaan pada dua stor termasuk satu yang tidak berlesen menemui 15,310 kg minyak masak paket yang ia melebihi had simpanan yang ditetapkan di dalam lesen.
"Sehubungan itu, kesemua minyak masak paket bernilai RM58,275 dirampas yang sekali gus menjadikan ia rampasan terbesar bagi KPDN Pulau Pinang setakat ini.
"Pemilik perniagaan berusia 47 tahun dan dua pekerjanya masing-masing berusia 42 tahun turut ditahan untuk siasatan lanjut," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Beliau berkata, semakan buku log pemborong di premis itu juga mendapati jumlah kuantiti minyak masak peket dimanipulasi dengan jumlah sebenar yang terdapat dalam stor berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Disiarkan pada: November 21, 2024 @ 7:13pm https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/11/1157669/simpan-lebih-15-tan-minyak-masak-peket-bersubsidi-pemilik-perniagaan-dan
|