SANGKUT: Jari manis kanak-kanak perempuan yang tersangkut di tombol pintu berkenaan.
TAWAU: Seorang kanak-kanak perempuan menanggung kesakitan hampir sejam selepas jarinya tersangkut pada tombol pintu, di rumahnya di Jalan Bukit Kawa Apas, Balung di sini semalam.
Kejadian itu disedari oleh ahli keluarganya sebelum meminta bantuan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.05 malam.
Katanya, seramai enam anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 45 kilometer dari balai bomba.
“Setiba di lokasi, pasukan bomba mendapati jari manis kanan seorang kanak-kanak perempuan tersekat dalam tombol pintu.
“Pasukan operasi menggunakan peralatan khas ‘cutter’ untuk membuka tombol pintu berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Menurutnya, anggota bomba mengambil masa 12 minit untuk memotong tombol berkenaan dan tiada kecederaan dilaporkan berlaku.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan pada jam 8.07 malam,” katanya.
|