Kaunter Perkhidmatan Bergerak Pemuda dan Wanita SUPP mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan warga emas yang ingin memohon KGC dan SCHB.
MIRI: Program Perkhidmatan Bergerak anjuran Pergerakan Pemuda dan Wanita Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Piasau yang diadakan bagi memudahkan permohonan Kenyalang Gold Card (KGC) telah mendapat sambutan yang luar biasa.
Sepanjang program yang berlangsung selama dua hari itu bermula 9 November dan berakhir semalam, sebanyak 2,470 keping KGC telah dikeluarkan kepada penerima layak.
Pada masa sama, pihak penganjur turut menerima sebanyak 3,331 permohonan untuk Faedah Kesihatan Warga Emas (SCHB).
Menurut pengerusi penganjur Kaunselor Leslie Lau, objektif utama program perkhidmatan bergerak itu diadakan adalah untuk memudahkan golongan sasaran khususnya warga emas mendapat manfaat kebajikan disediakan oleh kerajaan Sarawak dan memastikan mereka menerima perhatian dan sokongan sewajarnya.
"KGC adalah inisiatif penting yang menyediakan kemudahan kehidupan serta perlindungan sosial bagi golongan yang layak.
"Sementara SCHB pula menyokong warga emas melalui pemeriksaan kesihatan dan bantuan perubatan yang diperlukan," katanya.
Katanya, pada hari pertama perganjuran, sebanyak 1,115 KGC telah dikeluarkan, manakala 1,281 permohonan SCHB diterima.
Manakala pada hari kedua, sejumlah 1,355 KGC dikeluarkan dan 2,050 permohonan untuk SCHB diterima.
Menurut Leslie lagi, aktiviti perkhidmatan bergerak itu bukan sahaja memastikan lebih ramai rakyat memahami manfaat kebajikan tersebut tetapi juga mendekatkan nilai kebajikan tersebut kepada masyarakat di negeri ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa lebih ramai rakyat untuk menyertai dan memanfaatkan program kebajikan ini demi kesejahteraan dan keharmonian masyarakat di Sarawak.
Program yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 6 petang itu diadakan di Stadium Tertutup Miri.
|