CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 32216|Reply: 0

[Sabah] KUSKOP sasar pelaburan RM100 juta sempena BIBAN24 di Riyadh

[Copy link]
Post time 7-11-2024 04:52 PM | Show all posts |Read mode
Edited by Vellfire at 7-11-2024 08:54 AM



BINCANG: Ewon meninjau sesi perbincangan perniagaan di antara syarikat-syarikat Malaysia dengan ahli-ahli Riyadh Chamber of Commerce.

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan potensi pelaburan bernilai RM100 juta melalui penyertaan Malaysia dalam Pameran Antarabangsa BIBAN24 di Riyadh, Arab Saudi pada 5 hingga 9 November 2024.

Menurut kenyataan KUSKOP di sini hari ini, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyifatkan usaha itu cerminan komitmen KUSKOP untuk memperkukuh kerjasama strategik antara Malaysia dan Arab Saudi, terutamanya dalam sektor francais dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Beliau yang mengetuai delegasi ke Pameran Antarabangsa BIBAN24 turut mengadakan siri perbincangan berprofil tinggi, termasuk mesyuarat dengan Kudu Company for Food & Catering, salah satu jenama francais makanan terbesar di Arab Saudi.

Perbincangan itu membuka peluang kerjasama perniagaan yang lebih luas dalam sektor makanan dan perkhidmatan, sekali gus membantu jenama-jenama Malaysia menembusi pasaran Arab Saudi.


PENGHARGAAN: Ewon menyampaikan sijil penghargaan kepada usahawan-usahawan SME, francais dan koperasi di Pavilion Malaysia.


Selain itu, mesyuarat dua hala turut diadakan dengan Menteri Perdagangan Arab Saudi Dr. Majid Abdullah Alkassabi untuk memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan kedua-dua negara.

Antara yang dibincangkan ialah usaha mempertingkatkan langkah-langkah konkrit seterusnya menjana sinergi dalam bidang keusahawanan dan pembangunan industri.

Pada 5 November, Ewon merasmikan Pavilion Usahawan Malaysia yang menjadi platform penting mempamerkan keupayaan dan inovasi usahawan Malaysia kepada pasaran global.

Dalam majlis yang sama, kedua-dua pihak menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SME Corp. Malaysia dengan Monsha’at dan PERNAS dengan Monsha’at.

MoU itu adalah langkah penting dalam memperkukuhkan kerjasama dalam bidang pembangunan PKS dan francais kedua-dua negara.

Pameran BIBAN24 di Riyadh Front Exhibition and Conference Center (RFECC) menjadi tumpuan global dalam bidang keusahawanan dan Pavilion Malaysia dijangka menarik perhatian pemain industri dari seluruh dunia.

Program padanan perniagaan dan sesi rundingan dijangka membuka ruang baharu bagi syarikat Malaysia yang ingin mengembangkan pasaran di Timur Tengah.

Sementara itu, Ewon pada Rabu mempengerusikan Mesyuarat Meja Bulat dengan Kamar Perniagaan Riyadh, yang mempertemukan para usahawan Malaysia dengan pelabur dan pengusaha tempatan Arab Saudi.

Sesi ini dijangka mencetuskan kerjasama perniagaan baharu, membuka jalan kepada peningkatan perdagangan dua hala.

Ewon juga mengadakan perbincangan strategik bersama pihak Tamimi Market, salah satu rangkaian peruncitan terbesar di Arab Saudi.

Perbincangan itu dijangka merintis laluan bagi syarikat Malaysia memperluaskan rangkaian produk dan perkhidmatan mereka di pasaran Arab Saudi.

Penyertaan Malaysia dalam BIBAN24 adalah sebahagian daripada usaha berterusan di bawah Malaysia MADANI yang menekankan kelestarian, pembangunan inklusif dan kesejahteraan melalui pengukuhan hubungan ekonomi antarabangsa.



Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

3-1-2025 04:18 AM GMT+8 , Processed in 0.039036 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list