Bukit Mertajam: Suami isteri dari Simpang Ampat, dekat sini buntu mencari dana RM100,000 bagi menampung kos pembedahan jantung anak lelaki mereka yang berusia setahun.
Shahrul Nizam Ahmad, 33, dan isterinya, Siti Nabila Sahifulantkras, 35, tidak mampu menyediakan dana sebanyak itu dalam tempoh singkat, memandangkan anak lelaki mereka, Muhammad Eusoff Al Amin menghidap kecacatan jantung kompleks yang perlu segera dibedah.
Shahrul Nizam berkata, dia bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM2,300 sebulan, manakala isterinya suri rumah.
.
"Anak saya dikesan menghidap masalah jantung sejak lahir dan telah menjalani pembedahan memasang 'stent' ketika usianya satu bulan.
"Kini keadaan dikatakan semakin buruk apabila doktor mendapati saluran darah semakin sempit yang memerlukan anak dibedah segera," katanya kepada pemberita, di sini.
Terdahulu, pasangan itu tampil memohon bantuan daripada pertubuhan amal One Hope Charity and Welfare (One Hope Charity) bagi membantu mengumpul dana.
Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu berikutan keadaan bayi itu yang berisiko tinggi dan boleh meragut nyawa.
Katanya, orang ramai yang berhasrat membantu boleh menghubungi hotline One Hope Charity and Welfare di talian 04-539 9212 atau 016-419 2192.