Kangar: Seorang lelaki tidak menafikan atau mengiyakan bahawa individu yang tular di media sosial kononnya berjuang di Ukraine, dan didakwa dikenal pasti sebagai tentera upahan asing melalui MyKad serta lesen memandu, adalah ahli keluarganya.
Ketika ditemui di sebuah taman perumahan di daerah ini, lelaki berusia 20-an serta dipercayai mempunyai pertalian keluarga dengan individu tular terbabit, bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan.
"No comment, no comment (tiada ulasan, tiada ulasan)," katanya ringkas.
Tinjauan di kediaman berkenaan juga mendapati, rumah dua tingkat berkenaan sunyi tanpa kelibat ahli keluarga lain.
Semalam, tular penemuan dua keping gambar yang menunjukkan MyKad dan lesen memandu rakyat Malaysia yang didakwa ditemukan di medan peperangan antara Ukraine dan Rusia.
Lelaki yang tular itu kononnya membabitkan diri sebagai tentera upahan dalam '16th Rifle Batallion Ukraine' yang mana ia sedang berdepan dengan ketumbukan tentera Rusia di Ukraine.
Dokumen berkenaan antaranya menunjukkan alamat berdaftar di Padang Besar, Perlis.
Selain itu, turut ditunjukkan dalam gambar yang tular ialah pasport negara lain dipercayai milik individu yang turut berada di lokasi berkenaan.
Dikatakan, kedua-dua dokumen itu ditemukan selepas kejayaan tentera Rusia menawan kubu tentera Ukraine di Livadny, Zaporizhia, Ukraine.